PKR Pahang tolak Dr Mahathir, Pejuang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – PKR Pahang nekad sepakat menolak Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti Pejuang yang dinaunginya.

Disebalik pendekatan ‘khemah besar’ Pakatan Harapan (PH) yang sedia bekerjasama dengan sesiapa saja kecuali kleptokrat, semua 14 cabang PKR Pahang meluluskan usul berbeza.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini PKR Pahang turut memasukkan Ahli Parlimen Langkawi dan Pejuang dalam kelompok yang dikecualikan.

Ketua Komunikasi PKR Pahang, Wan Fauzuldin Wan Samad, berkata keputusan berkenaan dicapai dalam mesyuarat agung tahunan cabang parti itu yang bermula sejak 27 Mac lalu.

“Apa yang menarik di dalam mesyuarat itu kali ini ialah usul berkaitan kerjasama politik dengan Mahathir dan Pejuang menjadi perhatian di semua cabang.

“Kesemua 14 cabang mengemukakan usul mendesak PKR menolak sebarang kerjasama politik dengan Dr Mahathir dan partinya sebagai usul utama.

“Seperti yang dijangka, usul ini tidak perlu dibahas panjang lebar, terus mendapat sokongan sebulat suara daripada semua ahli,” katanya.

Untuk rekod Dr Mahathir merupakan pengerusi penaja Pejuang, sebuah parti yang ditubuhkan – tetapi belum diterima pendaftarannya oleh kerajaan – ekoran krisis dalaman Bersatu pada tahun lalu.

Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri itu juga memberitahu sebelum ini bahawa dia tidak akan mengadakan rundingan dengan Anwar.

Selain Dr Mahathir, Pejuang mempunyai tiga lagi wakil mereka sebagai ahli parlimen di Dewan Rakyat.

Wan Fauzuldin berkata kesemua cabang PKR di Pahang mahu usul berkenaan dibahaskan di kongres nasional parti itu nanti agar keputusan yang jelas mengenainya dapat dibuat.

“PKR Pahang menyokong kesemua ketetapan yang dipersetujui di dalam pemukiman Pakatan Harapan (PH) di Port Dickson baru-baru ini iaitu bekerjasama dengan mana-mana pihak selagi mereka menerima prinsip PH termasuk agenda reformasi yang ingin dibawa, kecuali Mahathir dan Pejuang.

“Rata-rata ahli PKR menganggap punca kejatuhan PH pada Feb tahun lalu adalah kerana niat Mahathir sendiri untuk meruntuhkan kerajaan yang telah mengangkatnya sebagai perdana menteri bagi menghalang Anwar menjadi perdana menteri berikutnya seperti yang dijanjikan,” katanya.

Tambah Wan Fauzuldin lagi selain itu PH sendiri wajar menjauhkan diri daripada Mahathir.

“Beliau sendiri ada menyebut sewaktu menubuhkan Pejuang, iaitu Pejuang tiada kaitan dengan PH.

“Pejuang akan membuat keputusan sendiri untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak selepas PRU nanti.

“Apakah parti seperti ini akan memperkuatkan PH? Parti seperti ini akan menjadi api dalam sekam,” katanya.

Untuk rekod, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir baru-baru ini berkata bahawa partinya belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu bersendirian atau menyertai mana-mana gabungan pada PRU15.

Katanya, keputusan hanya dibuat apabila tiba masanya nanti.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat