PAS Akan Bertanding Semua Kerusi Di Terengganu

- Advertisement -

KUALA NERUS: PAS Terengganu akan meletakkan calon di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya UMNO negeri itu enggan meneruskan kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Datuk Husain Awang, berkata pihaknya mengambil langkah ke arah perpaduan ummah dengan ketiga-tiga parti Melayu perlu bergabung bagi memenuhi keperluan perubahan landskap politik negara ketika ini.

“PAS cuba menyelamatkan kuasa politik Melayu, bangsa, agama dan bukannya bersikap menyelamatkan individu atau parti dan kita (PAS) masih bersikap serta berpendirian begitu.

“Kita cuba untuk elak, tetapi jika UMNO Terengganu masih tegas dengan sikap mereka, maka kita bersedia. Jika UMNO bersikap begitu, jadi kita pun ambil sikap sama tanding di semua kerusi,” katanya selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Gong Badak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mengatakan tidak akan bekerjasama dengan PAS pada PRU-15.

Sebelum ini, UMNO Terengganu dilaporkan akan bergerak sendiri menggunakan logo Barisan Nasional (BN) dan menolak kerjasama dengan PAS kerana mendakwa parti itu tidak jujur dan melanggar syarat perjanjian persefahaman ketika penubuhan Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019.

Husain berkata, kenyataan Ahmad tidak melambangkan sikap dan pandangan UMNO secara keseluruhan kerana UMNO Perak sendiri mengatakan mereka mahu bekerjasama dengan PAS.

Ditanya sama ada PAS akan mengadakan pertemuan dengan Ahmad bagi membincangkan hubungan kedua-dua parti, Husain berkata, perkara itu bergantung kepada arahan atau keputusan dari kepemimpinan pusat.

“Arahan ini sudah tentu bukan dibuat semata-mata mengukur suasana di Terengganu, tetapi mengikut kepentingan dan keperluan keseluruhan parti termasuk UMNO di seluruh negara,” katanya.

Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen dan pada PRU-14 lalu, PAS memenangi 22 kerusi, manakala 10 lagi dimenangi BN.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat