Hishammuddin sambut baik tawaran Zahid, jika ikhlas MKT boleh tarik balik penggantungannya

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyambut baik kenyataan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung tawaran penyatuan melalui gagasan “Rumah Bangsa”, namun menegaskan bahawa soal penarikan balik penggantungan keahliannya bergantung kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Hishammuddin berkata, beliau menghargai pendirian pucuk pimpinan parti yang dilihat terbuka untuk merapatkan semula saf kepimpinan dan ahli UMNO.

“Saya sambut baik dan hargai kenyataan Presiden tempoh hari. Saya tidak pernah keluar parti. Tiga tahun digantung, saya juga tidak pernah serang parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahli Parlimen Sembrong itu, keputusan menggantung keahliannya sebelum ini dibuat oleh MKT dan sebarang perubahan terhadap status tersebut juga perlu melalui saluran yang sama.

“Sebelum ini Majlis Tertinggi telah membuat keputusan untuk menggantung saya. Jadi jika ikhlas pendirian pucuk pimpinan parti untuk menarik balik penggantungan terhadap diri saya, saya akan kembali terus berjuang demi parti UMNO,” katanya.

Untuk rekod, Hishammuddin digantung keahlian UMNO selama enam tahun bermula Januari 2023 selepas keputusan MKT parti atas alasan disiplin. Penggantungan itu dikaitkan dengan dakwaan penglibatan beliau dalam usaha politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 yang dilihat bertentangan dengan pendirian rasmi parti ketika itu.

Sepanjang tempoh penggantungan, Hishammuddin kekal sebagai ahli UMNO namun tidak dibenarkan memegang jawatan atau terlibat dalam aktiviti rasmi parti.

Kenyataan terbaharu beliau dilihat sebagai isyarat kesediaan untuk kembali aktif dalam parti sekiranya penggantungan tersebut ditarik balik secara rasmi oleh kepimpinan tertinggi UMNO.

Terdahulu, Zahid dilaporkan menawarkan pendekatan penyatuan politik Melayu menerusi gagasan “Rumah Bangsa” yang membuka ruang kepada bekas pemimpin dan ahli UMNO untuk kembali menyertai perjuangan parti.

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian strategi UMNO memperkukuh kedudukan menjelang pilihan raya umum akan datang serta merapatkan semula jurang perpecahan dalam kalangan pemimpin Melayu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat