PARIT JAWA – UMNO Muar sedang giat mengerahkan jentera bersama kenderaan untuk menunggu di halaman rumah pengundi-pengundi putih yang mereka telah kenal pasti untuk menunaikan tanggungjawab memilih memandangkan peratusan keluar mengundi di Johor sangat rendah.

Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Razali Ibrahim memberitahu jentera parti akan terus berusaha merayu dan mengeluarkan seberapa ramai pengundi terutamanya pengundi putih untuk keluar mengundi.

“Sekarang kita sedang kerah ni sebab dengan jumlah sedikit ini juga sedikit sebanyak melibatkan pengundi kita.

“Jadi kita sedang menelefon, kenderaan kita pun bersiap sedia di halaman rumah. Kita tahu pengundi kita tinggal di mana, parti lain mungkin kita tak tahu dok mana, kita akan masih merayu,” kata Razali ketika ditemui Sekolah Kebangsaan Seri Menanti, di Parit Jawa pada Sabtu.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Muar memberitahu meskipun mengharapkan angka peratusan keluar mengundi yang lebih baik namun, parti tidak ada hak untuk memaksa pengundi kerana setiap orang ada kerja masing-masing.

“Bagi pengundi bukan jentera mungkin ada kerja dia mungkin ada yang pergi laut, dia pergi laut dulu, undi kemudian.

“Apabila SPR tambah sampai jam 6 ini, dia akan undi.

“Kalau kita nak paksa-paksa sangat ia tak boleh berlaku kepada semua orang semua orang ada tanggungjawab, ada kerja namun kita percaya kita kerah sebaik mungkin sehingga tamat jam 6 kita akan dapat membawa mereka keluar,” ujarnya.

Peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya negeri (PRN) Johor setakat pukul 2.00 petang adalah sebanyak 40 peratus, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ia membabitkan 2,539,606 pengundi biasa daripada sejumlah 2,597,742 pemilih berdaftar bagi PRN itu di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga pengundian berakhir pada jam 6 petang.