SPRM enggan ulas dakwaan berunsur tohmahan, spekulatif dilapor portal berita antarabangsa

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan mengulas dakwaan yang berunsur tohmahan serta bersifat spekulatif dan juga yang masih dalam pertimbangan mahkamah (sub judice).

Penegasan SPRM ini susulan laporan sebuah portal berita antarabangsa mengenai agensi antirasuah itu.

Tegas SPRM, pihaknya akan hanya memberi keutamaan kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

“SPRM mengambil maklum satu laporan diterbitkan sebuah media antarabangsa yang (didakwa) mengandungi tohmahan dan dakwaan tidak berasas serta berniat jahat untuk mencemarkan nama baik dan reputasi SPRM.

“Kami menegaskan untuk tidak akan mengulas dakwaan berunsur tohmahan dan bersifat spekulatif, serta perkara yang masih dalam pertimbangan mahkamah (sub judice) atau tertakluk kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Sebarang dakwaan atau andaian bahawa siasatan SPRM dipengaruhi oleh kepentingan peribadi, adalah ditolak sama sekali.

“Ini kerana semua siasatan dilaksanakan SPRM dengan tegas selaras peruntukan undang-undang serta berpandukan bukti, dan dijalankan secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih,” kata SPRM pada Khamis.

Hari ini, laporan satu portal berita antarabangsa mendakwa SPRM memainkan peranan dalam pengambilalihan syarikat/syarikat besar melalui siasatan yang dijalankan agensi antirasuah itu.

Menegaskan lanjut, SPRM turut menekankan bahawa sebarang keputusan berkaitan pendakwaan adalah tertakluk kepada budi bicara pendakwaan dan kuasa kehakiman oleh Jabatan Peguam Negara serta sistem kehakiman.

“Ini selaras kerangka perundangan Malaysia yang berasaskan prinsip pengasingan kuasa.

“Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan, fungsi dan peranan SPRM adalah dikuatkuasakan oleh Akta SPRM 2009, serta tertakluk kepada pemantauan oleh lima badan pemantau bebas,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sebarang dakwaan salah laku perlu dinilai menerusi sistem perundangan dan proses keadilan ditetapkan, sekali gus tidak wajar diadili melalui naratif media.

“SPRM menegaskan mana-mana individu atau pihak yang mempunyai bukti berasas dan sahih berkaitan rasuah atau salah laku, digesa untuk menyalurkan maklumat itu melalui saluran yang sewajarnya bagi membolehkan penilaian serta tindakan diambil selaras dengan undang-undang,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat