Meski Indeks Persepsi Rasuah naik, banyak isu rasuah timbul tetap hakis keyakinan rakyat – Tuan Ibrahim tuntut penjelasan PM

KUALA LUMPUR – Peningkatan dalam Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index, CPI) Transparency International 2025 apabila negara kita naik ke tangga ke-54 berbanding kedudukan ke-57 pada tahun sebelumnya didakwa masih tidak memberikan keyakinan kepada rakyat.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keyakinan rakyat terhakis walaupun kedudukan CPI meningkat hal ini apabila isu demi isu timbul tanpa penjelasan yang tuntas.

Kata Tuan Ibrahim, rakyat melihat seolah-olah tindakan tegas lebih tertumpu kepada pihak tertentu, khususnya lawan politik, manakala kes yang melibatkan individu dalam lingkaran kuasa tidak menunjukkan perkembangan yang jelas.

“Maka timbul persoalan besar iaitu adakah laungan memburu perasuah dan menghukum tanpa mengira darjat benar-benar dilaksanakan secara konsisten? Atau ia sekadar retorik politik untuk mengekalkan imej reformis?

“Dalam Islam, keadilan bukan sekadar menghukum musuh, tetapi berlaku adil walaupun terhadap diri sendiri dan kelompok sendiri. Allah SWT mengingatkan agar keadilan ditegakkan walaupun terhadap orang yang dibenci. Prinsip inilah yang membezakan antara retorik dan kepimpinan sebenar,” kata Ketua Pembangkang Pahang itu dalam kenyataan pada Khamis.

Tegas Tuan Ibrahim, Malaysia tidak memerlukan slogan baharu sebaliknya Malaysia memerlukan konsistensi dan keberanian politik.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi, jika kerajaan benar-benar serius memerangi rasuah, maka setiap dakwaan mesti disiasat tanpa pilih kasih, setiap tuduhan mesti dijawab secara terbuka, dan setiap institusi penguatkuasaan mesti dipelihara kebebasannya daripada pengaruh politik.

Tambah beliau, Parlimen juga wajar diberi peranan yang lebih besar dalam menyemak dan mengimbangi kuasa institusi penguatkuasaan.

“Rakyat semakin matang. Mereka tidak lagi menilai berdasarkan slogan, tetapi berdasarkan tindakan. Jika persoalan-persoalan ini terus tidak dijawab, sejarah akan menilai bahawa retorik anti-rasuah hanya menjadi perisai politik untuk menutup kelemahan pentadbiran.

“Integriti bukan slogan untuk diucapkan. Ia adalah ujian pelaksanaan dan keberanian kepimpinan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim tetap menghargai peningkatan CPI ini yang dianggap perkembangan yang positif dan wajar dihargai. Inilah harapan seluruh rakyat untuk hidup dalam sebuah negara yang bebas dan bersih daripada rasuah.

“Secara fitrah, manusia menolak rasuah kerana ia merosakkan keadilan dan menghakis kepercayaan dalam masyarakat. Dalam Islam pula, rasuah diharamkan secara tegas kerana ia mengkhianati amanah serta mencemarkan sistem keadilan. Justeru, usaha memerangi rasuah bukan sekadar agenda politik, tetapi tanggungjawab moral dan tuntutan agama.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat cuba meyakinkan rakyat bahawa peningkatan CPI ini membuktikan kejayaan pentadbiran beliau. Sejak awal pemerintahannya, beliau melaungkan komitmen untuk “menangkap perasuah tanpa mengira darjat”. Kenyataan ini memberi gambaran bahawa satu era baharu penguatkuasaan yang tegas dan konsisten sedang bermula. Rakyat menyambut baik komitmen tersebut dan menaruh harapan tinggi terhadap pelaksanaannya.

“Namun, seperti pepatah Melayu, “ku sangka hujan hingga ke petang, rupanya panas di tengah hari.” Beberapa perkembangan kebelakangan ini menimbulkan persoalan sama ada laungan tersebut benar-benar selari dengan realiti di lapangan.

“Antaranya ialah isu yang melibatkan bekas Setiausaha Politik beliau, Farhash, yang pernah dikaitkan seperti yang dilaporkan dengan dakwaan berkaitan lesen penerokaan mineral seluas 70,000 hektar di Sabah. Kes ini dilihat seolah-olah berakhir tanpa penjelasan menyeluruh dan meyakinkan kepada umum. Ketiadaan maklumat yang jelas hanya mengundang persepsi bahawa ketelusan tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“Keyakinan rakyat sekali lagi tercabar apabila seorang ahli perniagaan, Albert Tei, dituduh telah memberikan suapan berbentuk wang tunai, kelengkapan perabot dan barangan elektrik berjumlah RM176,829.03 kepada Setiausaha Politik Kanan PM. Apabila kes ini dibawa ke mahkamah, rakyat mula mempersoalkan sejauh mana prinsip “tanpa mengira darjat” benar-benar ditegakkan.

“Dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkaitan isu pemilikan saham yang kembali dibangkitkan juga belum menerima penjelasan komprehensif yang mampu meredakan polemik. Dalam isu yang menyentuh integriti ketua agensi penguatkuasaan tertinggi negara, ketelusan adalah kewajipan, bukan pilihan.

“Isu MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menimbulkan persoalan apabila projek bernilai sekitar RM150 juta itusedang disiasat SPRM kerana didakwa mempunyai ketidakaturan dalam pembiayaan dan pelaksanaan. Rakyat berhak mengetahui bagaimana wang awam dibelanjakan, sama ada kajian keperluan telah dibuat, dan adakah mekanisme pemantauan keberhasilan termasuk penetapan KPI dilaksanakan secara menyeluruh. Teguran tersebut bukan datang daripada pihak politik, tetapi daripada badan pencegah rasuah itu sendiri.

“Laporan ekstensif Bloomberg bertajuk “Everyone Gets A Cut, And Migrant Workers Pay The Price” pula membangkitkan isu berkaitan Bestinet, sistem pengambilan pekerja asing Bangladesh yang diteruskan pada tahun 2024 walaupun menerima pelbagai kritikan. Laporan tersebut menyorot dakwaan ketirisan serta beban kos tinggi yang ditanggung pekerja migran. Jika benar berlaku penyelewengan, tindakan tegas perlu diambil kerana ia melibatkan imej negara dan prinsip keadilan kemanusiaan,” hurai beliau,

Selain itu Tuan Ibrahim berkata, dakwaan penyelewengan dalam IJM, sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan awam dan peranan dalam pemilikan ekuiti ekonomi Bumiputera, turut menimbulkan persoalan apabila siasatan berlaku dalam suasana terdapat ura-ura pengambilalihan saham oleh syarikat lain.

“Walaupun siasatan masih berjalan, persepsi konflik kepentingan yang tidak ditangani secara telus boleh menjejaskan reputasi negara.

“Lebih membimbangkan, laporan antarabangsa yang mendakwa SPRM digunakan untuk tujuan intimidasi dan pengambilalihan perniagaan merupakan tuduhan yang amat serius.

“Perdana Menteri tidak boleh berdiam diri dalam isu sebegini. Penjelasan terbuka amat diperlukan demi menjaga kepercayaan rakyat serta keyakinan pelabur,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat