KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menyelar pengkritik daripada parti lain yang didakwa ‘menyibuk’ dengan cadangan beliau yang menyeru partinya dan Pas membentuk pakatan bagi PRN Melaka dengan menyatakan perpecahan politik Melayu melemahkan pengaruh mereka walaupun di kawasan majoriti penduduknya terdiri orang Melayu.
“Yang dicadang untuk Umno dan Pas.
“Tapi yang menggelupur orang parti lain pula. kesian,” bidas Adun Merlimau itu.
Terdahulu, Akmal menyarankan pilihan raya Melaka sepatutnya menjadi kes ujian bagi kerjasama politik antara dua parti Melayu-Muslim terbesar itu, menyebut bahawa Pemuda Umno secara konsisten memperjuangkan perpaduan sejak awal lagi.
“Saya lebih suka Umno-Pas, walaupun Pas tidak menang sebarang kerusi pada PRN Melaka lalu.
“Jika kita mahukan perpaduan Melayu, kita kena mula sekarang. Kita tak boleh hanya bercakap. Kita mesti buktikan di Melaka, walaupun Umno perlu beri laluan kepada PAS (di beberapa kerusi),” katanya dalam episod terbaru audio siar Keluar Sekejap.
Hari ini Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Danish Hairudin berkata, cadangan untuk Umno dan Pas bekerjasama di Melaka bagi menghadapi PRN tidak mendatangkan sebarang ketakutan kepada AMK, sebaliknya yakin ia membuka ruang lebih luas kepada Pakatan Harapan (PH).
Danish mendakwa, pandangan peribadi yang disuarakan Ketua Pemuda Umno itu itu jelas memperlihatkan kegelisahan politik yang sedang melanda parti berkenaan.
Menurutnya, kenyataan Akmal itu juga bukan lahir daripada kekuatan, tetapi kebimbangan terhadap realiti sokongan rakyat hari ini, selain sebagai percubaan menghidupkan semula naratif lama yang sudah diuji dan ditolak rakyat dalam beberapa pilihan raya lalu.
“Saya ingin menegaskan bahawa AMK dan PH tidak pernah gentar untuk bertanding. Kita telah melalui pelbagai medan pertarungan politik, sama ada ketika menjadi kerajaan mahupun pembangkang.
“Kita yakin kepada kekuatan dasar, rekod prestasi dan sokongan rakyat yang mahukan politik matang serta pentadbiran yang berintegriti. Jika seruan Ketua Pemuda Umno memilih untuk bersama Pas dalam PRN akan datang, itu adalah hak mereka. Namun keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuktikan bahawa landskap politik Melaka telah berubah.
“Kerjasama sedemikian tidak menakutkan kami, malah membuka ruang lebih luas untuk PH mengulangi dan memperkukuh prestasi baik di peringkat negeri dan Parlimen. Rakyat hari ini menilai berdasarkan keupayaan mentadbir dan kejujuran politik, bukan sekadar retorik perkauman,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.



