JOHOR BAHRU, — Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memasuki fasa lebih tegang apabila kepimpinan negeri Johor secara rasmi mengemukakan memorandum mendesak pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada jawatan Timbalan Presiden serta keanggotaan parti.
Memorandum bertajuk Mendesak Pemecatan Serta Merta Dato’ Seri Hamzah Zainudin Daripada Jawatan Timbalan Presiden dan Keanggotaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu ditujukan kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Dalam dokumen berkenaan, kepimpinan Johor menyifatkan desakan tersebut sebagai tegas dan muktamad, dengan alasan kononnya berlaku pelanggaran perlembagaan parti secara sistematik, kegagalan memelihara disiplin organisasi serta dakwaan tindakan yang mencabar autoriti kepimpinan parti.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk dakwaan pembiaran terhadap kenyataan terbuka yang menyerang Presiden, penglibatan dalam rundingan luar tanpa mandat rasmi parti, serta kaitan dengan polemik gerakan Akuan Bersumpah (SD) yang sebelum ini mencetuskan ketegangan dalaman.
Memorandum itu turut mengaitkan beberapa insiden semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU 2025, termasuk kekecohan ketika ucapan dasar Presiden dan dakwaan usaha melemahkan kepimpinan secara tersusun dari dalam.
Kepimpinan Johor menegaskan bahawa kegagalan mengambil tindakan tegas akan menjejaskan kredibiliti parti, menghakis keyakinan akar umbi serta memberi isyarat bahawa disiplin parti boleh dipermainkan tanpa akibat.
“Tiada mana-mana individu berada di atas Perlembagaan Parti,” tegas memorandum tersebut, sambil mendesak Lembaga Disiplin menjalankan prosiding segera dan menjatuhkan hukuman pemecatan jika kesalahan dibuktikan.
Memorandum berkenaan ditandatangani oleh 16 Ketua Bahagian Bersatu Johor terdiri daripada Datuk Dr. Hj. Sahruddin bin Hj. Jamal selaku Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Johor, bersama Ketua-Ketua Bahagian iaitu Basut bin Nin (Muar), Mohd Radzi bin Amin (Bakri), Uzzair bin Ismail (Sembrong), Nor Samsu bin Yusof (Segamat), Syafiq bin Aziz (Ayer Hitam), Samsudin bin Ismail (Iskandar Puteri), Tosrin bin Jaruanthib (Kulai), Kamaruzzaman bin Abu (Tebrau), dan Syed Mohamad bin Syed Alwi (Batu Pahat).
Turut menandatangani memorandum itu ialah Aidil bin Ahmad (Tenggara), Tuan Haji Talib bin Salim (Kluang), Halim bin Abu Bakar (Mersing), Tuan Haji Rasman bin Ithnain (Kota Tinggi), Farid bin Razak (Pasir Gudang), selain Ketua Srikandi Negeri Johor, YB Alawiyah binti Talib dan Ketua Armada Negeri Johor, Alias bin Rasman.
Perkembangan ini berlaku ketika prosiding Lembaga Disiplin terhadap pimpinan tertinggi parti dijadual berlangsung dalam masa terdekat, sekali gus dilihat sebagai kemuncak kepada siri ketegangan dalaman yang berlarutan sejak tahun lalu.



