MCMC Mulakan Rundingan Awam Instrumen di Bawah ONSA Perkukuh Keselamatan Dalam Talian

CYBERJAYA, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memulakan Rundingan Awam berhubung cadangan kerangka kawal selia bagi Pelan Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Plan) sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA). 

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, rundingan tersebut turut melibatkan draf Kod Pengurangan Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak yang dirangka bagi memperkukuh aspek keselamatan pengguna di platform dalam talian. 

Kerangka kawal selia dan draf kod yang dicadangkan itu bertujuan mempertingkatkan keupayaan platform dalam talian untuk mengurus risiko keselamatan dengan memberi penekanan khusus terhadap perlindungan kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan. 

MCMC memaklumkan bahawa instrumen berkenaan menetapkan keperluan jelas kepada penyedia perkhidmatan supaya mengambil langkah yang munasabah dan berkesan bagi mengurangkan kemudaratan dalam talian secara praktikal. 

Melalui rundingan awam ini, MCMC membuka ruang kepada orang awam untuk bersama-sama membentuk ekosistem digital yang lebih selamat. Pandangan akan dikumpulkan bagi menilai keberkesanan serta kebolehlaksanaan langkah-langkah yang dicadangkan untuk meningkatkan tahap perlindungan keselamatan dalam talian. 

Orang awam, pemain industri, organisasi masyarakat sivil serta pihak berkepentingan dijemput meneliti dokumen rundingan dan mengemukakan maklum balas bertulis sama ada secara fizikal atau dalam bentuk elektronik selewat-lewatnya pukul 5.00 petang pada 13 Mac 2026. 

Dokumen berkaitan Cadangan Kerangka Kawal Selia bagi Pelan Keselamatan Dalam Talian serta draf Kod Pengurangan Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi MCMC.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat