KUALA LUMPUR, — Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dr. Afif Bahardin tampil dengan satu warkah terbuka berjudul Kesetiaan, Pengkhianatan dan Amaran Sejarah yang ditujukan kepada Timbalan Presiden parti di tengah kemelut dalaman yang semakin meruncing.
Dalam warkah tersebut, Dr. Afif yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor kawasan Taman Medan menegaskan bahawa tulisannya bukan bertujuan menyerang atau menjatuhkan mana-mana pihak, sebaliknya lahir daripada rasa tanggungjawab bagi memastikan perjuangan parti tidak rosak dari dalam akibat kegagalan membezakan antara kesetiaan dan ambisi peribadi.
Beliau menggunakan analogi daripada karya klasik Romance of the Three Kingdoms bagi menggambarkan bagaimana sesebuah empayar boleh runtuh bukan kerana musuh terlalu kuat, tetapi akibat pengkhianatan dalaman.
Dr. Afif merujuk kepada watak Lü Bu yang digambarkan sebagai pahlawan hebat namun tidak memiliki nilai kesetiaan, sehingga akhirnya dihukum bukan kerana kekalahan, tetapi kerana reputasinya sebagai pengkhianat.
“Seorang pengkhianat tidak pernah dipercayai walaupun dia paling kuat. Sejarah mencatat Lü Bu bukan sebagai wira, tetapi sebagai amaran,” tulisnya.
Beliau turut menyentuh kejatuhan kerajaan Shu dalam kisah yang sama, yang menurutnya bukan berpunca daripada serangan luar semata-mata, tetapi akibat perebutan pengaruh dan bisikan dalaman yang melemahkan kepimpinan secara senyap.
“Inilah pengkhianatan paling berbahaya — kerana ia berlaku tanpa bunyi, tanpa pedang, tanpa darah, tetapi akhirnya memusnahkan segalanya,” katanya.
Dr. Afif menegaskan bahawa dalam keadaan parti berhadapan tekanan politik dari luar, retak dalaman akibat percaturan kuasa akan menjadi ancaman lebih besar daripada serangan musuh politik.
Beliau turut membezakan antara menegur dan menikam, dengan menyatakan bahawa teguran secara berdepan dan beretika adalah tanda kesetiaan, manakala usaha melemahkan kepimpinan melalui pakatan sulit adalah bentuk pengkhianatan walaupun dibungkus dengan bahasa perubahan.
“Kesetiaan sebenar diuji ketika kalah. Kesetiaan sebenar diuji ketika tekanan memuncak. Dan kesetiaan sebenar diuji apabila jalan mudah tersedia, tetapi kita memilih jalan benar,” katanya lagi.
Menurut beliau, parti tidak dibina untuk memenuhi cita-cita individu, sebaliknya atas amanah rakyat yang mengharapkan politik baharu yang berprinsip.
Dr. Afif mengingatkan bahawa sejarah tidak menilai niat, tetapi mencatat perbuatan.
“Dalam setiap kisah besar kejatuhan empayar, mereka yang mengkhianati dari dalam sering menjadi yang pertama dikorbankan apabila semuanya runtuh,” tegasnya.
Warkah terbuka tersebut dilihat sebagai mesej tegas dalam suasana BERSATU sedang berdepan krisis dalaman berkaitan isu disiplin dan kepimpinan, khususnya menjelang prosiding Lembaga Disiplin yang membabitkan pimpinan tertinggi parti.
Beliau mengakhiri warkah dengan menyeru agar semua pimpinan memilih jalan kesetiaan dan meletakkan kepentingan parti serta amanah rakyat mengatasi pertimbangan peribadi.
“Semoga Allah memberi kita kebijaksanaan untuk memilih jalan yang benar — bukan sekadar jalan yang menguntungkan,” katanya.



