Exco Belia dan Sukan N. Sembilan Sambut Baik Pelan Jadikan Pusat E-Sport Hab Pembangunan Kemahiran

SEREMBAN, – Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB Dato’ Haji Mustapha Nagoor menyambut baik jawapan Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari di Dewan Rakyat pagi tadi berhubung perancangan menjadikan pusat E-Sport sebagai hab pembangunan kemahiran menerusi Pelan Strategik Pembangunan Sukan Elektronik 2026–2030.

Menurut beliau, pendekatan tersebut amat bertepatan dengan perkembangan semasa industri digital negara yang kini menyaksikan E-Sport bukan lagi sekadar aktiviti rekreasi, sebaliknya berkembang sebagai satu ekosistem menyeluruh melibatkan pembangunan bakat, kemahiran teknikal, pengurusan, keusahawanan serta penciptaan peluang kerjaya baharu kepada generasi muda.

“Usaha memperkukuh tadbir urus, menjaga kebajikan pemain serta memastikan pertumbuhan industri yang mampan merupakan langkah strategik yang wajar disokong di semua peringkat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian Malaysia di peringkat antarabangsa membuktikan potensi besar industri tersebut. Antaranya termasuk kejohanan berprestij seperti M7 Mobile Legends World Championship yang berlangsung di Indonesia, sekali gus memperlihatkan kemampuan pemain negara bersaing secara kompetitif di pentas global.

Sebagai Exco yang bertanggungjawab terhadap pembangunan belia dan sukan negeri, beliau melihat cadangan menjadikan pusat E-Sport sebagai hab pembangunan kemahiran mampu menyediakan ruang latihan yang lebih tersusun dan profesional. Inisiatif itu bukan sahaja memberi fokus kepada aspek permainan kompetitif, malah meliputi bidang sokongan seperti analitik data, penyiaran digital, pembangunan kandungan, pengurusan acara serta teknologi berkaitan.

Tambahnya, pelaksanaan pelan strategik yang komprehensif dengan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri berpotensi menjadikan industri E-Sport sebagai platform pembangunan belia secara holistik.

“Dalam masa yang sama, keseimbangan antara prestasi, pendidikan dan kesejahteraan pemain perlu terus diberi perhatian agar industri ini berkembang secara sihat, beretika dan mampan,” ujarnya.

Beliau menegaskan Negeri Sembilan komited untuk menyokong segala inisiatif yang memperkasa belia melalui pendekatan inovatif dan berimpak tinggi demi memastikan E-Sport terus berkembang sebagai antara sektor strategik yang menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat