KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh, berkelakuan lebih seperti Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berbanding memperjuangkan kepentingan kerajaan Perpaduan sendiri dakwa Setiausaha Kebangsaan DAPSY Lim Chun Weng.
Sambil melabelkan Akmal sebagai agen PN, Chun Weng, menegaskan bahawa Pemuda Umno tidak seharusnya cuba mengalihkan perhatian masyarakat dengan menggambarkan seolah-olah DAPSY menentang usaha mereka dalam membawa suara rakyat.
“Hakikatnya, Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh, berkelakuan lebih seperti Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berbanding memperjuangkan kepentingan kerajaan Perpaduan sendiri.
“Tindakan Akmal yang berulang kali menyerang pemimpin dan dasar Kerajaan Perpaduan secara berkala memberi gambaran seolah-olah beliau sedang membantu pembangkang untuk merosakkan imej kerajaan,” dakwanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Menurut Chun Weng lagi, DAPSY menyokong sepenuhnya sebarang cadangan dan kritikan yang membina, selagi ia produktif dan membawa manfaat kepada Malaysia.
Namun katanya, apa yang kita lihat ialah Akmal lebih cenderung membuat kenyataan bersifat provokatif dan tidak berasaskan fakta serta hujah yang bernas.
“Akmal sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan kontroversi, termasuk mencadangkan logo “non-halal” ditampal di dahi Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, menggelar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, sebagai “Menteri Bodoh”, serta mempertikaikan kelayakan Menteri Pelancongan, Tiong King Sing.
“Jelas bahawa Ketua Pemuda Umno kini lebih sibuk menyerang pemimpin Kerajaan Perpaduan daripada menjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat atau mempertahankan kerajaan sendiri daripada serangan pembangkang,” katanya.
Selain itu, Chun Weng juga mengkritik sikap berat sebelah Akmal yang memilih untuk berdiam diri apabila kenyataan ekstrem datang dari pihak PN.
“Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu Johor, Khoo Keng Ek, sebelum ini menyifatkan garis panduan bagi umat Islam menghadiri majlis sebagai dasar apartheid – satu kenyataan yang jelas keterlaluan.
“Namun, Akmal Saleh memilih untuk berdiam diri. Adakah ini kerana kenyataan tersebut datang dari pihak PN? soal beliau.
Chun Weng mengingatkan Akmal agar berhenti menjadi “duri dalam daging” dalam Kerajaan Perpaduan.
“Cukuplah, Akmal. Jangan jadi perosak dalam kerajaan sendiri. Marilah kita bersama-sama mempertahankan Kerajaan Perpaduan daripada ancaman Perikatan Nasional.
“DAPSY menyokong sepenuhnya sebarang cadangan dan kritikan yang membina, selagi ia produktif dan membawa manfaat kepada Malaysia. Namun, apa yang kita lihat ialah Akmal Saleh lebih cenderung membuat kenyataan bersifat provokatif dan tidak berasaskan fakta serta hujah yang bernas,” katanya.