Jamal debar 22.2.22, Zamani tak putus asa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiap pasangan berkahwin pasti mengharapkan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga.

Ada orang peroleh rezeki menimang anak dengan cepat, ada juga yang terpaksa menunggu bertahun-tahun sebelum bergelar ibu bapa. Namun, biar cepat atau lambat, semuanya bergantung rezeki.

Bercakap soal cahaya mata, dua penyanyi terkenal tanah air iaitu Datuk Jamal Abdillah dan Zamani tidak keberatan berkongsi perasaan menantikan kehadiran si kecil sebagai penyeri mahligai.

Bezanya, Jamal berdebar menunggu kelahiran bayi kelima, Zamani pula tidak pernah berputus asa dan berharap ada rezeki untuk dirinya dan isteri menimang cahaya mata, suatu hari nanti.

Pada usia 63 tahun, Jamal yang popular dengan lagu Kekasih Awal dan Akhir masih terus dikurniakan rezeki anak.

Bayi kelima menerusi perkahwinan keempat bersama Datin Zai Izzati Khiruddin, 27, dijangka menjengah dunia pada 22 Februari 2022.

“Perasaan saya ketika ini sangat berdebar menantikan kelahiran cahaya mata kelima yang bakal dilahirkan secara pembedahan pada 22 Februari depan.

“Kalau ikut jadual asal, isteri saya sepatutnya bersalin pada 28 Februari. Bagaimanapun, kami sepakat untuk mempercepatkan tarikh kelahiran iaitu pada 22 Februari menerusi kaedah pembedahan.

“Tarikh itu dipilih kerana angkanya sangat cantik. Selain itu, kami sudah memilih nama iaitu Iskandar Rayyan Yamani. Pada asalnya, kami hendak letak nama Iskandar Zulkarnain.

“Namun, disebabkan nama itu sudah biasa digunakan, kami tukar agar lebih unik,” ujar penyanyi yang mendapat jolokan Raja Pop ini.

 

Jamal dan Zamani akan berkongsi pentas menjayakan Konsert A Night To Remember yang bakal dijayakan di sebuah hotel di ibu negara, bulan depan. - NSTP/Rohanis Shukri
Jamal dan Zamani akan berkongsi pentas menjayakan Konsert A Night To Remember yang bakal dijayakan di sebuah hotel di ibu negara, bulan depan. – NSTP/Rohanis Shukri

 

Mengulas persediaan menyambut kelahiran bayinya itu, penyanyi bervokal ‘jantan’ ini mengakui sedikit tertekan apabila mengenangkan rutin yang agak memenatkan, menanti.

“Biasalah, apabila ada anak kecil, banyak perkara yang perlu kita urus. Saya akan bantu isteri untuk tukar lampin pakai buang, bancuh susu dan berjaga malam.

“Memang agak ‘stress’ jugalah apabila memikirkannya. Tapi mahu atau tidak, kenalah buat juga,” luahnya kepada BH Online.

Bagi Zamani, dia dan isteri, Nur Juliana Abdul Rani, 38, tidak pernah berputus asa dan mereka percaya rezeki akan berpihak untuk menimang si comel, suatu hari nanti.

Malah, vokalis kumpulan Slam itu sentiasa bersikap positif dan Zamani bersama isteri masing-masing percaya suatu hari nanti, hasrat dikurniakan zuriat dimakbulkan Tuhan.

“Saya berkahwin pada usia yang agak lewat. Namun, saya tetap berusaha. Cuma masih belum ada rezeki lagi untuk kami menimang cahaya mata.

“Doakan saya mendapat ‘baby’ junior suatu hari nanti,” pintanya.

Jamal dan Zamani ditemui pada sidang media Konsert A Night To Remember yang bakal dijayakan mereka di sebuah hotel di ibu negara, bulan depan.

Mengaku teruja bertemu peminat, Jamal memberitahu, mereka akan mementaskan segmen penghargaan kepada rakan seperjuangan yang sudah menyahut panggilan Ilahi.

“Persiapan sudah pun dibuat awal. Selain nyanyian solo, kami akan berduet menyampaikan lagu popular sahabat kami iaitu Allahyarham Saleem,” katanya.

Berikutan Konsert A Night To Remember hanya menampilkan dirinya tanpa ditemani anggota Slam lain, Zamani bakal mendendangkan lagu dipetik daripada album solonya.

“Saya ada banyak lagu solo yang belum pernah dinyanyikan dalam konsert. Namun, kalau ada permintaan penonton yang mahukan saya menyanyikan lagu Slam, insya-Allah, saya tunaikan,” katanya.

Jamal dan Zamani akan menjayakan Konsert A Night To Remember pada 26 Mac depan.

Maklumat mengenai jualan tiket boleh didapati dengan melayari laman web www.illassotickets.com.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,591FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat