YBR Beri Sumbangan RM28,600 Untuk Pembelian Alat Pendengaran OKU Asnaf

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) baru-baru ini telah memberi sumbangan kepada Pertubuhan Membantu Pesakit Parah Miskin Malaysia bagi pembelian alat pendengaran melibatkan peruntukan sebanyak RM28,600.

Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani dalam kenyataan hari ini berkata sumbangan berkenaan memanfaatkan lima Orang Kurang Upaya (OKU) daripada golongan asnaf dan B40 yang menghadapi masalah kurang pendengaran.

Beliau berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban golongan berkenaan dalam meneruskan kehidupan seharian.

“Pemberian bantuan alat pendengaran ini diharap dapat mengurangkan masalah komunikasi harian mereka kerana kami memahami alat bantu pendengaran adalah sangat penting bagi merawat pesakit bermasalah pendengaran dan kosnya sangat tinggi,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut Syaiful Rizal replika cek bantuan pembelian peralatan perubatan itu telah diserahkan kepada Setiausaha Pertubuhan Membantu Pesakit Parah Malaysia Datuk Dr Faisal Abdullah.

Sementara itu, Syaiful Rizal berkata pada 2022 pihaknya memperuntukkan dana lebih RM800,000 dan dianggarkan seramai 37,500 menerima manfaat tersebut yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi mereka melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.

“YBR akan terus berusaha mengenal pasti golongan kurang bernasib baik daripada pelbagai kategori termasuk anak yatim, pesakit yang terlantar dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga berharap agar lebih banyak pihak tampil memberikan bantuan kepada golongan OKU yang sentiasa memerlukan sokongan serta pertolongan bagi membolehkan mereka menjalani kualiti kehidupan lebih baik seperti orang lain. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat