Hodoh sangatkah Umno? – Asyraf Wajdi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Faktor utama kekalahan Umno-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana perpecahan justeru, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak pengkhianat parti disingkirkan.

Beliau berkata, strategi menyerang peribadi pemimpin, membunuh karakter pemimpin, dan menghancurkan kredibiliti pemimpin adalah senjata paling ampuh bagi melemahkan dan menundukkan mana-mana organisasi.

Sedangkan kata Asyraf, Presiden adalah pusat graviti kepada parti.

“Presiden bukanlah individu tetapi sebuah institusi. Lemah institusi Presiden, lemahlah organisasi. Hancur institusi Presiden maka musnahlah kekuatan parti.

“Daripada PRU14 hinggalah PRU15, kedua-dua kepimpinan tertinggi parti dibunuh kredibilitinya, dan diwajahkan dengan persepsi hodoh akibat pendakwaan politik terpilih dengan begitu dahsyat hingga mengakibatkan Umno jatuh tersungkur.

“Malangnya kita sendiri yang merelakan segala kebobrokan yang berlaku. Pentas media sosial peribadi dibuka ruang untuk kepimpinan sendiri dihina,”kata Asyraf dalam ucapan dasar Pemuda Umno sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada Khamis.

Malah menurut beliau ada dikalangan pimpinan Umno sendiri khayal dan seronok dengan gegak gempita, sorak sorai penonton tatkala memerli dan merendahkan parti sendiri.

Lebih menyedihkan katanya, apabila kewujudan api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut yang berkempen dalam pilihan raya dengan cara mengutuk parti dan Presidennya sendiri.

“Tak pernah terbayang dek akal kita, bagaimana pemimpin-pemimpin yang sudah berpuluh tahun hidup mewah di atas keringat dan air mata
ahli-ahli parti, tetapi kali ini memilih memburukkan parti dan kepimpinan hanya kerana mereka tidak dapat menjadi calon lagi.

“Sesetengah calon kita juga memilih untuk menjadi ‘hero’ dengan mencerca parti. Dijaja kononnya mengundi beliau bermakna undi untuk
memulihkan Umno yang sesat, rosak dan korup. Seolah-olah dialah satu-satunya yang paling suci, paling sempurna, dan paling hebat segala-galanya.

“Apa hodoh sangatkah Umno yang menatang mereka sehingga sesetengahnya dapat beberapa kali menjadi menteri? Apa busuk sangatkah kepimpinan kalau mereka yang berulang kali khianat pun masih diberi tempat bertanding oleh parti?

“Jadi bagaimana rakyat nak percaya Umno dan BN mampu memimpin negara? Bagaimana rakyat nak yakin bahawa kita boleh membawa kestabilan jika pemimpin atasan dilihat bercakaran?N Bagaimana rakyat nak mengundi BN jika kita sendiri berpecah belah dan saling kata mengata? Bak kata peribahasa Inggeris, “a house divided against itself cannot stand”. Realitinya, 2018 kita kalah kerana fitnah. 2022 kita kalah kerana berpecah! tegas Asyraf lagi.

Atas asas inilah dalam dua ucapan dasar sebelum ini kata beliau, Pemuda Umno tidak pernah berganjak dengan pendirian untuk terus mempertahankan institusi kepimpinan parti ‘without fear or favour’.

“Pemuda tidak boleh bersikap hipokrit, melambung pemimpin tatkala menang, tetapi memijak lumat pemimpin tatkala jatuh kecundang.

“Justeru, Pemuda mendesak agar saki baki pengkhianat parti yang selama ini menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan, mengutamakan diri daripada parti agar disingkirkan daripada terus menjadi barah yang merosakkan seluruh organ dan jasad parti Umno ini,” katanya.- Suara.TV

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat