Demi survival eloklah jawatan Presiden, Timbalan Presiden Umno tidak direbut

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Lebih elok supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan agar memberi ruang dan sokongan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memulih dan memperkasakan Umno demi survival politik parti dan negara.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mencadangkan supaya sayap Wanita harus bersatu hati menerima keputusan kepimpinan dalam merancang strategi kerjasama politik antara parti dan istiqamah dalam perjuangan.

“Melihat kepada apa yang sedang berlaku di dalam parti ini dan situasi politik semasa, sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama dengan kepimpinan yang ada, bangkit bersama memulihkan kekuatan parti dan keyakinan rakyat.

“Membawa Umno kembali ke landasan perjuangan yang hakiki,” ujarnya dalam ucapan dasar Ketua Wanita Umno sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 pada Khamis.

Noraini turut mengingatkan bahawa kekalahan adalah adat dalam sesuatu perjuangan.

“Insafilah, menang atau kalah, itu lumrah perjuangan. Adat orang berjuang – biarpun kita kalah, tetapi jangan sesekali kita mengalah, apatah lagi mudah menyerah, hatta tergamak berpaling tadah.

“Bagai dititip oleh tokoh pejuang wanita nusantara Raden Adjeng Kartini: “Jangan pernah menyerah jika kita masih ingin
mencuba. Jangan biarkan penyesalan datang kerana kita selangkah lagi untuk menang.”

“Dalam keadaan sekarang, amat mudah untuk kita semua dirundung sedih dan kecewa yang berpanjangan. Itu fitrah kerana kita benar-benar sayangkan parti. Tiada siapa boleh halang. Namun kita perlu mengingati kembali iktikad asal mengapa kita berada di dalam parti ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noraini menyeru supaya persediaan rapi dibuat mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

“Kita faham kita masih lagi penat, lenguh kaki ini masih lagi terasa. Tapi pilihan raya di enam negeri sudah semakin hampir dan ianya akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Suka atau pun tidak, kita semua kena tetap bersedia untuk memastikan kemenangan parti kita. Presiden Umno pun sudah membuat keputusan untuk menggunakan logo dacing pada PRN yang akan datang.

“Segala perkiraan, strategi, telahan dan ikhtiar yang kita rencanakan di dalam perhimpunan ini mungkin tidak sempat
dilaksanakan dengan secukupnya menjelang PRN nanti.

“Sama ada berlaku serentak di keenam-enam negeri atau berasingan masih lagi menjadi teka-teki, sama ada dipanggil dalam beberapa minggu atau sehingga bulan Mei masih lagi menjadi satu persoalan,” kata beliau.

Walau apapun, tambah Noraini Umno tidak boleh sesekali alpa atau menyerah kalah. Kesiapsiagaan kita perlu sentiasa di tahap yang tertinggi.- Suara.TV

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat