SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong sepenuhnya langkah yang diambil oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memelihara kepentingan rakyat.
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, keputusan tersebut bukan satu perkara mudah dan hanya boleh dilakukan setelah mendapat nasihat daripada semua pihak terutamanya golongan profesional dan ahli Jemaah Menteri.
Menurutnya, pengisytiharan darurat adalah langkah yang tepat berdasarkan situasi semasa negara.
“Langkah ini hanya akan benar-benar berhasil dengan sokongan dan kesatuan rakyat yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan.
“Kami mengajak rakyat keseluruhannya untuk terus bersama-sama dengan kerajaan yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani krisis Covid-19 yang semakin meruncing.
“Semua perbezaan serta kepentingan politik atau peribadi harus diketepikan dan keutamaan harus diberikan terhadap kesihatan serta kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, rakyat seharusnya lega terhadap jaminan yang diberikan Perdana Menteri bahawa kerajaan awam akan terus berfungsi dan proses perundangan akan berjalan seperti biasa.
Katanya, kestabilan yang dihasilkan melalui pengisytiharan itu sudah pasti akan membolehkan sektor perniagaan meneruskan urusan mereka dan usaha menarik pelaburan demi menjana pertumbuhan ekonomi dapat berjalan dengan baik.
“Bersatu menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan untuk darurat diisytiharkan.
“Sesungguhnya pengisytiharan ini adalah lambang keprihatinan Yang di-Pertuan Agong terhadap musibah yang melanda rakyat dan kebijaksanaan Baginda dalam mencari jalan penyelesaian yang proaktif terhadap krisis pandemik Covid-19 ini,” katanya. – Sinar