JOHOR BAHRU — VFive Group Sdn. Bhd., syarikat Bumiputera dalam industri pengurusan fasiliti (FM) dan pembinaan, terus tampil sebagai peneraju teknologi apabila mempamerkan rangkaian solusi pintar di Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025 anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) dan JKR Malaysia baru-baru ini. 
Pada pameran itu, VFive memperkenalkan Smart FM, model pengurusan berasaskan digital dan analitik yang digerakkan oleh aplikasi V-ROSE, sistem CMMS dibangunkan pakar tempatan mengikut standard JKR serta Dasar Keselamatan ICT (DKICT). Sistem tersebut membolehkan setiap aduan pelanggan dipantau secara masa nyata dan diurus secara automasi bagi meningkatkan kecekapan penyelenggaraan aset, utiliti dan sisa buangan. 
Menurut syarikat, model itu sudah menunjukkan impak positif dalam beberapa projek semasa, termasuk pengurusan fasiliti di Bangunan Sultan Iskandar serta kuarters kerajaan di Putrajaya, dengan maklum balas pelanggan yang sangat memberangsangkan. Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Hj Mohd Syafiq Hj Abdullah, menegaskan bahawa inovasi berterusan menjadi kunci daya saing dalam industri yang berubah pantas. 
Selain sektor FM, VFive turut menampilkan konsep Smart Construction merangkumi BIM, Digital Twin, IoT Monitoring, robotik, modular construction dan analitik AI. Turut dipromosikan ialah bahan binaan mesra alam seperti acuan plastik boleh guna semula, teknologi solar lighting dan sistem penuaian air hujan. 
Penyertaan VFive di HPTN 2025 turut mencuri perhatian apabila reruai pameran syarikat menerima lawatan rasmi Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri, YB Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, serta Ketua Setiausaha KKR, Dato’ Seri Azman Ibrahim. Syarikat itu kini berhasrat memperluaskan penglibatan dalam projek berskala besar di dalam dan luar negara, termasuk rantau Asia dan Timur Tengah, seiring visinya untuk membangunkan ekosistem FM dan pembinaan yang lebih pintar dan mampan.



