Malaysia beritahu China akan muktamadkan COC Laut China Selatan tahun depan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan kepada China hasrat Malaysia agar “Code of Conduct in the South China Sea” (COC) dimuktamadkan pada tahun depan.

COC merupakan kod tatacara bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan akan dimuktamadkan ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN pada 2025, kata Menteri Pertahanan.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan hasrat Malaysia itu ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Katanya, pertemuan dengan wakil negara ini merupakan sebahagian daripada amalan dan pendekatan negara dalam konteks diplomasi pertahanan.

Pertemuan sebentar tadi telah membincangkan tentang pelbagai perkara, termasuklah berkenaan peluang untuk meningkatkan kerjasama meliputi bidang teknologi dan industri pertahanan.

“Malaysia dan China sememangnya mempunyai pelbagai kerjasama pertahanan, antaranya melalui perjanjian persefahaman yang telah dimeterai sejak tahun 2005.

“Kerjasama ini akan terus diperkukuh, selari dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara dua negara.

“Saya turut menyatakan hasrat Malaysia agar “Code of Conduct in the South China Sea” (COC) yang merupakan kod tatacara bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan dimuktamadkan semasa Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun hadapan,” kata Khaled dalam kenyataan pada Isnin.

Turut hadir, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd Yani Daud.

Untuk rekod, Kementerian Luar sebelum ini menyatakan, Malaysia akan sentiasa memastikan bahawa COC yang dirundingkan tidak sekali-kali mengetepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara.

Justeru sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia komited untuk menyelesaikan isu berkaitan Laut China Selatan secara konstruktif, dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai.

Malaysia akan terus menyuarakan pendirian tegas berhubung isu Laut China Selatan di pelbagai platform.

Ini bagi memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara akan terus kekal terpelihara,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat