KUALA LUMPUR – Sejumlah RM15.8 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan Negeri Sarawak 2025 yang dibentangkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Belanjawan Negeri Sarawak 2025 dengan tema ‘Bersama Membina Masa Depan Sejahtera’ itu adalah yang terbesar dalam sejarah Sarawak.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata belanjawan itu akan terus menjadi bajet pengembangan untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Sarawak.
“Belanjawan tahun depan bercadang untuk meningkatkan operasi dan pembangunan daripada RM13.6 bilion pada 2024 kepada RM15.8 bilion pada 2025.
“Ia menyaksikan peningkatan sebanyak RM2.2 bilion atau 16 peratus berbanding belanjawan 2024,” lapor BH di Kuching pada Isnin.
Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak berkata demikian dalam ucapan Pembentangan Belanjawan Negeri Sarawak 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Beliau berkata, belanjawan itu direka inklusif dengan setiap rakyat mempunyai kesaksamaan akses kepada peluang dan sumber untuk berkembang maju.
“Belanjawan ini dinilai dengan teliti dan dirumus untuk memastikan Sarawak kekal berdaya tahan, berdaya saing dan boleh menyesuaikan diri di tengah-tengah ketidaktentuan global.
“Pencapaian masa lalu dengan asas yang kukuh, meletakkan kita dalam persediaan
untuk mengharungi cabaran masa depan, menjaga kesejahteraan rakyat dan membawa kesejahteraan kepada semua,” katanya.
Menurutnya, Belanjawan Negeri Sarawak 2025 dirangka dengan lapan teras strategi iaitu mentransformasi dan mempelbagaikan ekonomi Sarawak.
“Kedua, meletakkan Sarawak sebagai destinasi pelaburan utama dan mempromosikan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ketiganya memperkukuh bakat dan pembangunan pendidikan manakala keempat mempercepatkan transformasi digital serta inovasi.
“Teras strategik kelima adalah meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan pembangunan inklusif, keenam mempromosikan kebudayaan, sukan dan memperkasakan belia, ketujuh meningkatkan kelestarian alam sekitar dan kelapan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari berkata, kutipan hasil Sarawak dijangka mencecah RM14 bilion tahun ini, mengatasi kutipan RM13.3 bilion tahun lalu.
Beliau berkata setakat Oktober tahun ini, Sarawak berjaya mengutip hasil berjumlah RM12.2 bilion.
“Berdasarkan prestasi semasa, kutipan hasil kita untuk tahun ini hampir RM14 bilion dan ini akan menjadi satu lagi pencapaian yang memecahkan rekod, menetapkan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah Sarawak,” katanya.
Menurutnya, sebanyak RM12.2 bilion kutipan hasil adalah daripada cukai jualan (RM4.4 bilion), pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas (RM2.7 bilion), dividen (RM2 bilion), faedah dan pulangan daripada pelaburan (RM1 bilion), royalti air mentah (RM554 juta), perhutanan (RM214 juta) dan geran serta pembayaran balik persekutuan (RM554 juta).
Justeru katanya, Sarawak dijangka mengutip sebanyak RM14.2 bilion pada 2025, iaitu kutipan hasil tertinggi pernah diunjurkan.
“Sumber utama anggaran hasil adalah hasil cukai berjumlah RM6.2 bilion atau 44 peratus daripada jumlah hasil yang dijangkakan pada 2025.
“Ia terdiri daripada RM5.1 bilion daripada cukai jualan negeri, dengan RM4.1 bilion daripada minyak mentah, gas asli cecair dan produk petroleum lain, RM820 juta daripada minyak sawit mentah dan minyak isirong sawit mentah, RM75 juta daripada loteri, RM60 juta daripada produk aluminium, RM29 juta daripada produk kayu dan RM6 juta daripada arang batu.
“Royalti air mentah diunjurkan menyumbang RM620 juta daripada anggaran hasil, RM100 juta daripada royalti hutan, premium dan tarif kayu balak dan RM422 juta daripada royalti perlombongan, sewa tanah dan lain-lain,” katanya.