CYBERJAYA – Malaysia mahukan kenyataan yang bakal dikeluarkan dalam Mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-8 akan memberi hasil dan perubahan kepada rakyat Palestin, lapor Utusan.
Menurut laporan itu lagi, Malaysia juga berharap OIC akan memainkan peranan yang lebih tegas berkaitan isu tersebut.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, melalui mesyuarat yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi kali ini, akan ada kenyataan bersama dibuat daripada kalangan negara anggota Liga Arab dan negara-negara pertubuhan tersebut.
“Kita dengan jelas mahu OIC memainkan peranan yang sepatutnya dengan lebih tegas dan konkrit bukan hanya retorik semata-mata,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selamat tiba di Riyadh hari ini akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Tergempar OIC.
Persidangan tersebut akan membincangkan mengenai serangan, kekejaman dan ketidakberperikemanusian rejim Israel yang berterusan ke atas Palestin.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, beliau juga sudah menyampaikan beberapa perkara pendirian Malaysia mengenai situasi yang dihadapi oleh Palestin ketika ini.
“Alhamdulillah saya juga telah bertemu dengan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud dan Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi yang bertanggungjawab membuat draft kenyataan bersama dan segala perkara, cadangan dan pernyataan Malaysia diterima untuk dimasukkan dalam kenyataan ini,” katanya.