Hutang keseluruhan negara kini cecah RM1.080 trilion

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Hutang negara meningkat RM99.776 bilion atau 10.2 peratus tahun lalu, menjadikan hutang keseluruhan mencecah RM1.080 trilion berbanding RM979.814 bilion yang dicatatkan pada 2021.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2022, daripada keseluruhan hutang itu, pinjaman dalam negeri berjumlah RM1.050 trilion atau 97.3 peratus manakala selebihnya RM29.513 bilion atau 2.7 peratus adalah hutang luar.

Laporan itu menunjukkan pinjaman dalam negeri meningkat RM99.994 bilion atau 10.5 peratus tetapi hutang luar menyusut RM218 juta atau 0.7 peratus dalam tempoh semakan.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan berikutan hutang berjumlah RM709.751 bilion atau 65.7 peratus akan matang dalam tempoh satu hingga 10 tahun manakala RM266.141 bilion atau 24.7 peratus matang dalam tempoh 11 hingga 20 tahun, sekali gus memberi kesan kepada dasar fiskal dan perbelanjaan negara.

Kerajaan membelanjakan RM395.246 bilion pada 2022 yang terdiri daripada perbelanjaan mengurus berjumlah RM292.693 bilion, perbelanjaan pembangunan berjumlah RM71.574 bilion dan perbelanjaan Covid-19 berjumlah RM30.979 bilion.

Perbelanjaan mengurus (sebelum pindahan ke Kumpulan Wang Pembangunan) berjumlah RM292.693 bilion, iaitu meningkat sebanyak RM61.177 bilion atau 26.4 peratus berbanding RM231.516 bilion yang dicatatkan pada 2021.

Ini melibatkan perbelanjaan emolumen berjumlah RM87.789 bilion diikuti perbelanjaan subsidi berjumlah RM55.443 bilion, perbelanjaan kerana hutang negara berjumlah RM41.269 bilion dan bayaran persaraan berjumlah RM30.260 bilion, lapor Utusan.

Perbelanjaan Kumpulan Wang Covid-19 adalah berjumlah RM30.979 bilion iaitu berkurangan sejumlah RM6.732 bilion atau 17.9 peratus berbanding RM37.711 bilion pada 2021.

Perbelanjaan utama Kumpulan Wang Covid-19 terdiri daripada sokongan bantuan sosial untuk golongan mudah terjejas berjumlah RM9.043 bilion, Bantuan Prihatin Nasional berjumlah RM7.910 bilion dan Diskaun Bil Elektrik berjumlah RM5.876 bilion.

Kerajaan Persekutuan terus berada dalam kedudukan defisit, iaitu berjumlah RM99.482 bilion dengan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus, dengan defisit tersebut sebahagian besar ditampung dengan pinjaman dari dalam dan luar negeri.

Nisbah hutang negara kepada KDNK pada 2022 adalah pada kedudukan 60.3 peratus iaitu berkurangan sebanyak tiga peratus berbanding 63.3 peratus pada 2021, antara lain dibantu oleh prestasi pertumbuhan KDNK yang lebih baik.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi mengesyorkan, kerjasama daripada semua peringkat serta pemantauan di peringkat kementerian bagi memastikan disiplin kewangan dapat dilaksanakan dengan efektif.

“Antaranya meningkatkan disiplin perbelanjaan mengurus, memperkasakan usaha penjanaan hasil dan pemantauan terhadap komitmen bayaran balik pinjaman bagi membolehkan lebihan hasil dapat dipertingkatkan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan dan mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman baharu.

“Kerajaan perlu memastikan dana Kumpulan Wang Pembangunan dibelanjakan bagi projek-projek fizikal dan bukan fizikal yang termasuk di bawah Rancangan Pembangunan Malaysia lima tahun. Perbelanjaan yang bertujuan sebagai penyaluran kepada syarikat bagi tujuan bayaran balik pinjaman perlu dipantau supaya tidak terus meningkat di masa hadapan,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya, kerajaan disarankan untuk meningkatkan tadbir urus dalam menguruskan perbelanjaan awam selain mempergiatkan usaha ke arah keberkesanan pe­ngurusan perbelanjaan.

Sementara itu, pada sidang akhbar di Parlimen, Suraya mengambarkan peningkatan hutang negara bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan.

“Saya menegaskan bahawa penyata kewangan adalah stabil, malah jauh lebih baik berbanding tahun lepas. Jadi hutang telah meningkat tetapi pada masa yang sama hasil dan prestasi kewangan kita juga meningkat, begitu juga keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Dan sebab itu kita beri Pendapat Tanpa Teguran dengan perenggan Hal-hal Lain yang pangkatnya lebih tinggi berban­ding dua tahun lepas.

“Hutang tidak dapat dielakkan kerana kita memerlukan lebih banyak wang untuk program dan ia juga membolehkan untuk menggunakan pinjaman dan pembayaran balik,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat