‘Naskhah epik Tamil gegar dunia’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Baru sahaja menjengah pawagam di seluruh dunia, filem epik Tamil bertaraf mega, Ponniyin Selvan: 1 mendapat sambutan luar biasa dalam tempoh beberapa hari tayangan.

Naskhah hebat yang menampilkan 15 bintang handalan sebagai teraju utama iaitu Aishwarya Rai, Vikram, Karthi, Jayam Ravi dan Trisha itu menelan belanja RM285 juta sudah berjaya mengutip RM130 juta di seluruh dunia dalam tempoh tiga hari ditayangkan di pawagam.

Malah, sambutan terhadap filem Ponniyin Selvan: 1 tidak kurang hebatnya di Malaysia apabila 1,500 tiket ditempah lebih awal pada hari pertama tayangan, minggu lalu.

Lotus Fivestar Cinemas (M) Sdn Bhd selaku pengedar utama di Malaysia berbangga apabila filem sentuhan pengarah hebat, Mani Ratnam itu ditayangkan di 140 panggung di Malaysia.

Pengurus Besar Lotus Fivestar Cinemas, Dr Sai Suthan berkata, pihaknya tertarik membawa masuk filem epik itu ke Malaysia kerana yakin dengan potensi filem.

“Bukan sahaja jalan cerita, malah barisan pelakon hebat turut membintangi filem ini.

“Ponniyin Selvan: 1 adalah naskhah epik yang menggunakan perbelanjaan besar, ia juga menjadi filem Tamil pertama ditayangkan dalam format IMAX.

“Pada hari pertama tayangan, kami menerima tempahan awal sebanyak 1,500 tiket. Ia belum pernah berlaku dalam mana-mana filem Tamil sebelum ini.

“Sambutan diterima filem sangat luar biasa. Namun, kami tidak berani menjangkakan berapa sasaran kutipan bakal diperoleh di Malaysia.

“Bagaimanapun, saya percaya kekuatan jalan cerita dan barisan pelakon tidak mustahil mampu mencatat kutipan pecah panggung,” katanya kepada BH Online.

 

M Saravanan (tiga dari kiri) bersama R Doraisingam (empat dari kiri) pada sesi majlis tayangan perdana filem Ponniyin Selvan: 1 di TGV Centeral i-City, Shah Alam. - NSTP/Genes Gulitah
M Saravanan (tiga dari kiri) bersama R Doraisingam (empat dari kiri) pada sesi majlis tayangan perdana filem Ponniyin Selvan: 1 di TGV Centeral i-City, Shah Alam. – NSTP/Genes Gulitah

 

Tambah Sai, Ponniyin Selvan: 1 adalah naskhah epik unik kerana diadaptasi menerusi novel 2,000 muka surat berusia lebih 70 tahun sentuhan penulis prolifik, Kalki Krishnamurthy.

Katanya, Ponniyin Selvan: 1 sarat dengan unsur budaya, kesusasteraan dan seni bina yang menjadi tarikan utama penonton untuk ke pawagam.

Selain itu, katanya, kisah mengenai Dinasti Chola iaitu raja yang menjadi kebanggaan kaum India yang diangkat dalam filem menjadi pemangkin kepada penjualan tiket.

“Naskhah ini adaptasi novel ditulis pada 1950 oleh penulis terkemuka dari India. Ia berdasarkan kisah yang berlaku 1,000 tahun lalu dengan mengangkat kisah raja yang menjadi kebanggaan kaum India.

“Ponniyin Selvan: 1 bukan sahaja menelan belanja besar, malah proses penggambaran filem mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan kerana dibahagikan kepada dua bahagian.

“Buat masa ini, produksi menayangkan bahagian satu terlebih dahulu, sementara bahagian kedua masih dalam proses pos-produksi,” katanya.

 

Majlis tayangan perdana filem Ponniyin Selvan: 1 di di TGV Centeral i-City mendapat sambutan hangat apabila 1,600 peminat hadir dengan memakai pakaian tradisional India. - NSTP/Genes Gulitah
Majlis tayangan perdana filem Ponniyin Selvan: 1 di di TGV Centeral i-City mendapat sambutan hangat apabila 1,600 peminat hadir dengan memakai pakaian tradisional India. – NSTP/Genes Gulitah

 

Sai berkata, naskhah itu terpaksa dipecah dua bahagian memandangkan novelnya mengandungi 2,000 muka surat.

“Jadi, naskhah ini perlu dibahagikan kepada dua bahagian kerana tentulah sukar memuatkan isi cerita dalam satu filem.

“Ia juga menyebabkan filem Ponniyin Selvan: 1 mengambil masa lama untuk disiapkan. Selain itu, kekangan utama dalam menyiapkan naskhah ini disebabkan penularan pandemik COVID-19 sehingga penggambaran beberapa kali ditangguhkan.

“Selain itu, banyak kajian perlu dilakukan, namun sumber pula agak terhad. Kajian kebanyakannya dilakukan di kuil-kuil.

“Penggambaran juga menjadi lebih sukar kerana menampilkan hampir 1,000 pelakon tambahan memandangkan ia adalah naskhah epik yang bertaraf mega,” kata Sai lagi.

Ponniyin Selvan: 1 ditayangkan dalam tiga versi bahasa iaitu Tamil, Hindi dan Telegu.

Sementara itu, majlis tayangan perdana filem Ponniyin Selvan: 1 di Malaysia yang diadakan di TGV Centeral i-City mendapat sambutan hangat apabila 1,600 peminat hadir dengan memakai pakaian tradisional India.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lotus Group, Tan Sri Datuk R Doraisingam Pillai.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat