11 September 2025 – Program keusahawanan belia berprestij, SAY ASPIRE edisi keenam, telah menutup tirai dengan pengumuman lima syarikat belia sebagai pemenang utama. Program anjuran Selangor Youth Community (SAY) di bawah penaungan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, terus mengekalkan peranannya sebagai platform pembangunan usahawan muda negeri ini.
SAY ASPIRE edisi kali ini bermula dengan 30 syarikat belia dari pelbagai sektor yang mengikuti modul latihan intensif selama dua bulan. Mereka diberi pendedahan dalam aspek pembangunan perniagaan, strategi eksport, pemasaran digital, dan pengurusan operasi. Daripada jumlah itu, 10 finalis terbaik telah dipilih untuk membentangkan idea serta rancangan perniagaan mereka di pentas akhir pada 11 September.

Melalui sesi pembentangan di hadapan panel juri yang terdiri daripada Raja Muda Selangor dan tokoh-tokoh industri, lima pemenang utama SAY ASPIRE 6 telah diumumkan:
- Drims Trading Sdn Bhd – Juara (Peranti Perubatan)
- Gritz Sdn Bhd – Naib Juara (Kesihatan & Aromaterapi)
- MTO Resources – Tempat Ketiga
- Boohaci Infinity Sdn Bhd – Anugerah Khas (Makanan & Minuman)
- Lotus CofY House Sdn Bhd – Anugerah Khas (Makanan Sejuk Beku)
Pemenang-pemenang ini bukan sahaja menerima trofi dan sijil, tetapi turut membawa pulang pelbagai insentif strategik. Juara menerima geran sebanyak RM10,000, naib juara RM7,000, dan tempat ketiga RM5,000. Kesemua lima pemenang juga diberi peluang mengikuti lawatan pasaran antarabangsa (market visit) yang akan diselaraskan bersama Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE).
Selain itu, pemenang menerima ruang pameran percuma di Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) bernilai RM10,000, serta program mentorship intensif selama enam bulan bersama pakar industri, termasuk jurulatih dari MATRADE. Inisiatif ini menandakan buat pertama kali SAY ASPIRE bekerjasama secara rasmi dengan MATRADE, memberi akses terus kepada fasiliti dan rangkaian perdagangan antarabangsa.

Acara finale SAY ASPIRE 6 turut diserikan dengan kehadiran barisan juri yang berpengalaman luas dalam dunia keusahawanan dan perdagangan. Mereka terdiri daripada:
- DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor
- YB Mohd Najwan Halimi, EXCO Belia, Sukan, Keusahawanan & Ekonomi Kreatif Selangor
- Dr. Noor Amy Ismail, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Venture Capital Management (MAVCAP)
- En. Naim Abdul Rahman, Pengarah Akademi Eksport & Seksyen Pembangunan Pasaran, MATRADE
- Mr. Aw Joo Leng, Pengurus Besar Kumpulan, Pembangunan Perniagaan & Perancangan Strategik, Sri Ternak Group of Companies
Kehadiran juri pelbagai latar belakang ini memastikan penilaian bukan sahaja melihat kepada kekuatan idea perniagaan, tetapi juga potensi pasaran, strategi eksport, dan daya tahan syarikat belia yang bertanding.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Aiman Syafiq bin Nazri, kerjasama bersama MATRADE merupakan penambahbaikan besar dalam edisi keenam ini. “Buat pertama kali, peserta bukan sahaja menerima latihan dan geran, tetapi juga akses penuh kepada fasiliti serta jaringan global MATRADE. Ini memastikan usahawan belia Selangor benar-benar bersedia untuk melangkah ke pasaran antarabangsa,” jelas beliau.
Beliau menambah, pemilihan Drims Trading Sdn Bhd sebagai juara membuktikan bahawa usahawan muda kini berani meneroka bidang baharu yang lebih kritikal. “Jika sebelum ini pemenang banyak datang daripada sektor makanan dan minuman, kali ini inovasi dalam peranti perubatan diberi pengiktirafan. Ini menunjukkan hala tuju positif usahawan belia Selangor,” katanya lagi.
Dengan kejayaan lima pemenang ini, SAY ASPIRE sekali lagi menegaskan peranannya bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah ekosistem pembangunan berterusan. Alumni terdahulu kini kembali sebagai penaja dan rakan strategik, mewujudkan kitaran sokongan yang memastikan generasi usahawan belia Selangor sentiasa dibimbing dan diberi ruang berkembang.
SAY ASPIRE edisi keenam telah melahirkan satu lagi kumpulan peneraju muda yang bersedia memperkukuh nama Selangor di persada antarabangsa. Program ini membuktikan bahawa dengan bimbingan yang betul, usahawan belia mampu m



