Perasmian kedai motosikal elektrik GGR x Farid Kamil @NeoFK, selangkah lagi ke arah mobiliti hijau negara

CYberjaya, 11 September 2025 – Industri automotif hijau Malaysia sekali lagi melakar sejarah dengan perasmian sebuah kedai motosikal elektrik baharu yang dimiliki oleh pelakon terkenal tanah air, Farid Kamil atau lebih dikenali dengan nama pentasnya NeoFK. Majlis penuh berprestij itu telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor, di premis yang terletak di 69-G, Seria 88 Business Center, Jalan Setia Perdana U13/BA, Bandar Setia Alam.

Majlis tersebut bukan sahaja menandakan pembukaan sebuah pusat jualan baharu, tetapi juga simbolik kepada peralihan negara ke arah ekonomi hijau dan mobiliti mapan, selari dengan dasar pembangunan lestari yang sedang giat dilaksanakan.

Sebagai seorang ikon hiburan tanah air, langkah Farid Kamil terjun ke dalam bidang perniagaan motosikal elektrik memberi mesej besar bahawa mobiliti hijau bukan lagi sekadar pilihan, tetapi satu keperluan.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa syukur dan teruja dengan sambutan yang diterima. Farid berkongsi sasaran syarikatnya untuk mencapai jualan melebihi 1,000 unit dalam masa empat bulan pertama selepas pelancaran, khususnya di kawasan Setia Alam yang semakin berkembang sebagai hab gaya hidup moden.

Menariknya, beliau juga mendedahkan bahawa syarikat telah mengenal pasti potensi pasaran baharu di Kelantan. Hasil tinjauan awal bersama rakan perniagaan, permintaan awal di negeri itu telah mencecah sekitar 100 unit. Justeru, pihaknya dalam perancangan membuka cawangan di sana pada tahun ini juga.

“Kalau kita lihat harga motosikal elektrik ini selepas rebat kerajaan hanyalah sekitar RM1,569, ia benar-benar mampu milik. Saya percaya inilah masanya rakyat Malaysia mula beralih kepada kenderaan elektrik. Sasaran kami bukan sahaja dari sudut jualan, tetapi juga membina satu gaya hidup baharu gaya hidup hijau,” kata Farid penuh semangat.

Majlis ini diserikan lagi dengan ucapan penuh wibawa daripada YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari yang menyentuh secara mendalam mengenai hala tuju ekonomi negeri dan negara.

Menurut beliau, transformasi ke arah ekonomi hijau bukanlah pilihan semata-mata, sebaliknya satu keperluan untuk memastikan daya saing Malaysia di persada global. Beliau menekankan bahawa usaha mengurangkan karbon dan mengembangkan ekosistem EV perlu dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan kerajaan, industri, dan masyarakat.

“Untuk menjayakan transformasi ini, kita tidak boleh hanya bergantung kepada polisi atau cukai kerajaan. Rakyat juga perlu mempunyai kesedaran tinggi, dan industri pula perlu berani melabur serta memperkenalkan produk yang relevan. Inilah yang dilakukan oleh saudara Farid Kamil hari ini,” jelas beliau.

Menteri Besar turut memberi contoh keberkesanan dasar mobiliti hijau di negara China, di mana lebih 70% motosikal di bandar besar seperti Shanghai dan Beijing kini menggunakan kuasa elektrik. Beliau yakin Malaysia mampu mencontohi kejayaan itu sekiranya semua pihak berganding bahu.

Dalam sesi penerangan produk, jurucakap syarikat memperincikan kelebihan motosikal elektrik ini yang direka untuk menjadi praktikal, berdaya tahan dan mesra pengguna. Dari segi prestasi, ia dilengkapi dengan tiga mod kelajuan yang fleksibel. Pengguna boleh memilih untuk menunggang dengan kelajuan sekitar 35 kilometer sejam pada mod pertama, meningkatkan kepada 45 hingga 55 kilometer sejam pada mod kedua, atau memacu sepenuhnya sehingga 70 kilometer sejam pada mod ketiga. Fleksibiliti ini membolehkan motosikal digunakan sama ada di jalan bandar yang sibuk mahupun untuk perjalanan lebih jauh.

Bateri motosikal ini pula mengambil masa sekitar enam jam untuk dicas penuh apabila digunakan sehingga habis. Tidak seperti motosikal konvensional, model elektrik ini tidak memerlukan servis enjin berkala, malah hanya bahagian asas seperti tayar dan casing bateri yang perlu diselenggara. Komponen utama yang digunakan hanyalah bateri dan controller, menjadikan kos penyelenggaraan jauh lebih rendah. Alat ganti pula disediakan terus di kedai rasmi GGR x NeoFK bagi memastikan pelanggan tidak berdepan masalah mendapatkan sokongan selepas jualan.

Dari segi personalisasi, syarikat menawarkan beberapa pakej tambahan yang merangkumi bateri gantian, controller dan aksesori lain. Pelanggan juga boleh memilih untuk menambah lampu, sport rim, atau aksesori mengikut citarasa masing-masing. Bagi menjamin kualiti, motosikal elektrik ini turut dilengkapi waranti sehingga 50,000 kilometer. Malah, pihak syarikat merancang untuk memperkenalkan versi baharu dengan saiz lebih besar serta penambahan ciri-ciri moden dalam masa terdekat.

Pilihan warna turut menjadi tarikan. Buat masa ini, pengguna boleh memilih daripada enam warna utama iaitu merah, putih, kuning, oren, biru cair dan pink. Dalam perancangan akan datang, warna biru dan hijau juga bakal ditawarkan sebagai variasi tambahan.

Dari aspek harga, motosikal elektrik GGR x Farid Kamil NeoFK ditawarkan pada harga asal RM3,999 seunit. Namun, dengan adanya rebat kerajaan sebanyak RM2,400, harga jualan mampu milik selepas potongan hanyalah sekitar RM1,569. Rebat ini boleh dipohon sehingga Disember 2025, dengan syarat pemohon berpendapatan tahunan tidak melebihi RM100,000. Proses kelulusan biasanya mengambil masa dua minggu, dan pembelian mesti dibuat dalam tempoh sebulan selepas permohonan diluluskan.

Setiap motosikal akan didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta layak untuk perlindungan insurans. Buat masa ini, tiada cukai jalan dikenakan untuk kenderaan elektrik dua roda, menjadikan kos pemilikan lebih berbaloi. Kos keseluruhan untuk pendaftaran nombor plat dan insurans pula dianggarkan sekitar RM2,054. Menariknya, satu nombor khas turut diserahkan kepada Menteri Besar Selangor sebagai simbol penghargaan bersempena pelancaran edisi pertama motosikal elektrik ini.

Perasmian kedai motosikal elektrik ini turut dikaitkan dengan usaha Malaysia mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Menteri Besar, walaupun langkah ini kelihatan kecil sekadar satu kedai baharu tetapi ia sebenarnya memberi impak besar dalam membentuk ekosistem mobiliti hijau di Malaysia.

“Kerajaan negeri melihat inisiatif seperti ini sebagai sebahagian daripada strategi lebih besar untuk mengurangkan karbon, meningkatkan daya saing ekonomi, serta memberi peluang pekerjaan baharu. Semua ini selari dengan sasaran pembangunan mapan dunia,” tambah beliau.

Majlis perasmian yang berakhir dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim oleh YAB Menteri Besar Selangor menandakan bermulanya perjalanan baharu bagi GGR x Farid Kamil NeoFK.

Dengan sokongan penuh daripada kerajaan, ditambah semangat usahawan seperti Farid Kamil, industri motosikal elektrik di Malaysia diyakini mampu berkembang pesat.

Setia Alam kini menjadi saksi kepada gelombang pertama transformasi mobiliti hijau tempatan – dan dengan rancangan membuka cawangan di Kelantan, GGR x Farid Kamil NeoFK berpotensi menjadi antara peneraju utama pasaran motosikal elektrik di negara ini.

“Ini bukan sekadar kedai motosikal. Ini adalah simbol kesungguhan kita bersama dalam membentuk masa depan yang lebih lestari, lebih bersih, dan lebih sejahtera untuk generasi akan datang,” kata Farid sebelum menutup ucapan dengan penuh harapan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat