KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mengingatkan Ketua Penerangan Pas fakta di sebalik insiden kekecohan pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
“Fakta yang perlu kita tahu adalah kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru pada tahun 2021
dan ketika itu anda (Fadhli) juga adalah sebahagian daripada kerajaan.
“Fullstop jangan salahkan orang lain,” selar Akmal sebagai reaksi kepada kenyataan Fadhli yang mendakwa tindakan pemaju yang meneruskan pengosongan secara tergesa-gesa, sedangkan rayuan penduduk dijadualkan untuk dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada 3 Oktober 2025, amat tidak berperikemanusiaan.
Menurut Fadhli lagi, Pas menzahirkan simpati dan solidariti penuh kepada penduduk Kampung Sungai Baru yang terpaksa berdepan kesusahan mendadak akibat pengosongan ini.
Kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi, Pas juga mengingatkan rakyat Malaysia bahawa apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru ini adalah gambaran awal atau ‘teaser’ sekiranya Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) dilaksanakan kelak.
“Tanpa budi bicara, pemaju diberi kuasa penuh, dan rakyat berisiko dihalau dari kediaman mereka sendiri.
“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama bangkit membela penduduk Kampung Sungai Baru dan terus membantah RUU URA yang akan dibawa semula ke Parlimen pada bulan Oktober 2025,” kata Fadhli.



