Batal pasport menantu Muhyiddin kemuka terus kepada Imigresen bukan KDN – SPRM diberitahu

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mengesahkan belum menerima permohonan pembatalan pasport antarabangsa Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya hingga kini tidak menerima permohonan rasmi berhubung perkara itu.

“Setakat ini saya belum terima sebarang permohonan,” lapor BH pada Khamis.

Menjawab lanjut, Zakaria menjelaskan sebarang permohonan untuk membatalkan pasport individu perlu dikemukakan terus kepada Imigresen dan bukan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihaknya sudah memohon pembatalan pasport Muhammad Adlan selepas usaha mengesannya terus dijalankan.

“Kita sudah membuat tindakan semalam (kelmarin) dan berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) setuju dengan permohonan agar pasport beliau dibatalkan.

“Beliau didakwa berada di negara yang mana kita tidak mempunyai perjanjian ekstradisi, tapi kita cuba berunding dengan negara berkenaan bagaimana untuk membawa beliau pulang ke negara ini,” katanya.

Ditanya mengenai keberadaan Muhammad Adlan, Azam berkata, menantu bekas Perdana Menteri itu dipercayai berada di Asia Barat, namun enggan mendedahkan nama negara berkenaan.

Pada 7 Ogos 2023, SPRM dilapor mengesan Muhammad Adlan dan seorang peguam, Mansoor Saat, 70, bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing sebuah kementerian.

Kedua-duanya dikenal pasti meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.

Pada Oktober 2023, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan permohonan notis merah ke atas Muhammad Adlan dan Mansoor sudah diserahkan kepada Polis Antarabangsa (INTERPOL).

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat