PAT Bersatu 2025 platform ‘membodek’, calonkan Muhyiddin PM tak cukup untuk menang PRU – Exco Armada

KUALA LUMPUR – Exco Armada Bersatu melahirkan rasa kecewa terhadap Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 yang didakwa terus menjadi bualan ramai susulan beberapa isu yang termasuk perbalahan kecil ketika perasmian serta usul mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-11.

Berkongsi mengenai perkara itu, Meor Naqiuddin menerusi hantaran di Facebook menyatakan kekecewaannya mengenai hala tuju PAT kali ini yang disifatkan sebagai ‘sedih dan melucukan’.

“Satu sahaja perkataan yang dapat menggambarkan isi hati saya, Kecewa,” catat beliau.

Meor Naqiuddin tidak menolak usul menyokong kepimpinan Muhyiddin namun mengkritik tindakan menjadikan pentas PAT sebagai platform ‘membodek’ dan bukan membincangkan dasar serta isu rakyat.

“PAT sepatutnya angkat aspirasi dan dasar parti bukan ulang drama sama setiap tahun.

“Ini tahun ketiga usul utama hanya berkisar tentang jawatan presiden dan perdana menteri,” katanya.

Meor Naqiuddin turut kesal kerana dasar besar seperti Wawasan Kemakmuran Bersama hanya disentuh secara ringkas dalam ucapan presiden malah sekadar dijadikan bahan poster media sosial tanpa penekanan dalam sidang PAT itu sendiri.

“Bayangkan kalau berita utama hari itu berbunyi: ‘Bersatu Sepakat Angkat Wawasan Kemakmuran Bersama Sebagai Dasar Menuju Putrajaya’ bukankah itu lebih meyakinkan rakyat?” soalnya.

Ketua Armada Bahagian Parit itu turut membangkitkan persoalan mengenai strategi parti menjelang PRU-16.

“Adakah hanya dengan mengangkat semula nama Tan Sri Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri akan cukup untuk menang PRU akan datang? Jika ya, kenapa jenama ‘Abah’ tidak mampu bantu kita di PRN Melaka dan Johor?” soal beliau.

“Tak dinafikan jenama Abah melalui imej Muhyiddin yang prihatin, disayangi dan bersih memainkan peranan bagi memenangkan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15. Tetapi, faktor yang lebih besar membuatkan rakyat memilih PN pada ketika itu adalah imej baik, kurang kontroversi, tawaran yang menarik, gelombang kebangkitan rakyat serta gerak kerja yang berstruktur. Itulah punca kemenangan besar PN ketika.

“Jadi saya ingin bertanya sekali lagi. Adakah dengan usul yang ada ini, kita dapat mengembalikan semula sokongan rakyat kepada kita dalam keadaan kita dilihat tidak bijak, tidak stabil dan tidak serius? Tepuk dada, tanya diri.

“Saya fikir, kita perlu berhenti bernostalgia dan kembalikan tumpuan kita. Hentikan sengketa ini segera. Bak kata orang Parit, “Don’t let people see us as jokes and goons.” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat