Dunia keusahawanan semakin mencabar, terutamanya bagi usahawan kecil dan sederhana (IKS) yang sering berdepan dengan masalah modal, persaingan sengit, serta isu pengurusan perniagaan. Dalam suasana mencabar ini, Ecotwin Step Sdn Bhd tampil dengan inisiatif untuk membantu golongan usahawan melalui penganjuran bengkel motivasi “Reset Diri, Ubah Rezeki” yang berlangsung di Dewan Parameswara 2, The Mines Resort & Golf Club pada hari ini.
Program sehari penuh ini bermula jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang dengan penyertaan hampir 100 orang peserta. Majoriti adalah usahawan kecil dan sederhana yang mahu menimba ilmu baharu, mencari motivasi, serta belajar strategi untuk memperkukuhkan perniagaan mereka.
Bengkel ini menampilkan Dr. Hisham Dzakiria, Pengasas dan CEO Ecotwin Step Sdn Bhd, sebagai penceramah utama. Beliau turut digandingkan dengan Coach Termizi Ab Aziz, seorang jurulatih berpengalaman dalam membimbing usahawan dan individu dalam pembangunan diri.
Berbeza dengan program motivasi lain yang lebih bersifat teori atau semata-mata menaikkan semangat, bengkel ini mengetengahkan pendekatan yang lebih mendalam dan menyentuh hati. Dr. Hisham menekankan bahawa kunci sebenar untuk mengubah rezeki bermula dengan keberanian untuk “reset minda”.
“Kita tidak boleh mengawal semua cabaran hidup, tetapi kita boleh mengawal bagaimana kita menghadapinya. Semua orang ada masalah sama ada dalam bisnes, komunikasi, hubungan atau emosi. Bezanya ialah bagaimana kita melihat isu itu. Kalau minda kuat, kita mampu bangkit berkali-kali. Tetapi kalau minda lemah, sedikit halangan pun sudah cukup untuk melemahkan semangat,” jelasnya dalam sesi perkongsian.
Dr. Hisham menekankan bahawa usahawan perlu mempunyai growth mindset, iaitu cara berfikir yang sentiasa mencari peluang dan belajar daripada pengalaman.
Menurut beliau, istilah “gagal” tidak sepatutnya ada dalam kamus seorang usahawan. Sebaliknya, setiap kegagalan harus dilihat sebagai feedback maklum balas yang berguna untuk memperbaiki strategi.
“Kalau kita jatuh kerana akar durian, kali kedua jangan jatuh di tempat sama. Sama ada kita elak, atau kita potong akar itu. Itulah feedback. Usahawan yang berjaya tidak pernah takut jatuh, malah mereka belajar sesuatu setiap kali mereka jatuh,” tambah beliau sambil berkongsi analogi kehidupan seharian.
Beliau memberi contoh tokoh perniagaan dunia, Donald Trump, yang pernah bankrap beberapa kali tetapi tetap kembali membina empayar. Katanya, keupayaan untuk bangkit bukan datang daripada wang atau aset, tetapi daripada kekuatan minda dan keyakinan diri.
Satu lagi pesan penting Dr. Hisham ialah usahawan mesti memulakan perniagaan dengan passion, bukan sekadar keterpaksaan.
“Kalau berniaga hanya sebab terpaksa, kita cepat letih, cepat bosan, dan mudah putus asa. Tetapi bila kita berniaga kerana passion, kita akan ada tenaga luar biasa. Kita sanggup berjaga malam, sanggup buat lebih, sebab kita minat. Dari situlah datangnya ketahanan dan idea baharu,” katanya.
Beliau menambah bahawa minat yang mendalam bukan sahaja melahirkan ketekunan, tetapi juga memberi tenaga untuk terus mencari jalan walaupun berdepan dengan kegagalan berulang kali.
Sebagai pakar dalam bidang Neuro-Linguistic Programming (NLP), Dr. Hisham memperkenalkan teknik ini kepada peserta sebagai alat untuk mengubah cara berfikir dan bertindak.
NLP ialah kajian tentang bagaimana otak (neuro), bahasa (linguistic) dan tingkah laku (programming) saling berhubung membentuk tindakan seseorang.
“Bahasa ialah kuasa. Apa yang kita ucapkan kepada diri sendiri akan menjadi realiti. Kalau kita asyik ulang ‘saya tak mampu’, minda akan mencari alasan untuk tidak mampu. Tapi kalau kita ulang ‘saya boleh’, minda akan mencari jalan bagaimana kita boleh. Itu kuasa NLP,” jelas beliau.
Melalui NLP, peserta dibimbing untuk mengurus emosi, mengatasi rasa takut, memperbaiki komunikasi, dan membina keyakinan. Prinsip “modeling success” juga diperkenalkan – iaitu belajar daripada mereka yang telah berjaya dan meniru strategi mereka.
Selain fokus pada minda, Dr. Hisham juga mengingatkan peserta bahawa tindakan adalah kunci utama.
“Reset minda sahaja tidak cukup kalau tidak disusuli dengan tindakan. Ramai orang tahu, ramai orang faham, tapi tak ramai yang buat. Keputusan yang kita ambil hari ini akan menentukan siapa kita esok. Kalau kita mahu rezeki berubah, tindakan mesti bermula sekarang,” tegasnya.
Peserta turut diajar teknik relaksasi dan mind reset untuk kekal fokus, bertenaga dan produktif dalam menguruskan perniagaan. Modul lain termasuk latihan mengenal pasti cabaran sebenar bisnes, serta panduan membina sistem pengurusan yang lebih teratur.
Menariknya, bengkel ini bukan sahaja padat dengan ilmu, tetapi juga diiringi dengan elemen hiburan yang memberi inspirasi. Penyanyi terkenal yang juga seorang usahawan, Ayu Damit, hadir memeriahkan acara dengan menyanyikan beberapa buah lagu termasuk “Hanya Di Mercu”. Lagu berkonsepkan semangat kebangkitan itu memberi suntikan motivasi tambahan kepada peserta yang hadir.
Dalam sesi penutup, Dr. Hisham berkongsi visi masa depan Ecotwin Step Sdn Bhd yang kini giat merancang pelancaran sebuah Healing & Wellness Center.
Pusat itu bakal menjadi hab latihan dan bimbingan yang memberi fokus bukan sahaja kepada keusahawanan, tetapi juga kesejahteraan mental dan emosi. Lebih 165 kursus akan ditawarkan, meliputi bidang kepimpinan, komunikasi, rundingan, pembangunan diri dan keusahawanan.
“Kami mahu bantu individu yang berdepan dengan burn-out, kemurungan dan masalah emosi. Hidup terlalu singkat untuk larut dalam tekanan. Dengan bimbingan yang betul, mereka boleh reset diri dan kembali bangkit,” katanya.
Bagi pihak penganjur, bengkel ini bukan sekadar tempat berkongsi ilmu, tetapi satu platform untuk memperbaharui semangat usahawan. Ia diyakini akan menjadi titik tolak bagi mereka yang mahu melonjakkan kerjaya perniagaan ke tahap lebih tinggi.
Dengan pendekatan praktikal, strategi berkesan, serta penekanan terhadap kuasa minda, “Reset Diri, Ubah Rezeki” membuka ruang kepada para usahawan untuk melihat cabaran dari perspektif baharu.
Seperti kata Dr. Hisham:
“Kalau minda anda kuat, anda boleh bangkit berkali-kali. Jangan tunggu esok atau tahun depan. Reset diri hari ini, kerana keputusan anda hari ini akan menentukan rezeki anda esok.”



