KUALA LUMPUR – Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sepatutnya mengambil alih jawatan Menteri Pendidikan ekoran kegagalan Fadhlina Sidek yang dinilai gagal menangani isu buli di sekolah dengan berkesan.
Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden berpandangan Asyraf yang menjalankan amanah sebagai Pengerusi Mara itu adalah calon yang sesuai menduduki jawatan berkenaan kerana dilihat lebih berkemampuan membanteras kes buli di sekolah.
“(Asyraf) kata enam pelajar (yang terlibat dalam kes buli di Maktab Rendah Sains Mara – MRSM) telah dibuang sekolah serta-merta. Saya rasa dia patut jadi Menteri Pendidikan.
“Satu-satunya masalah ialah dia belum menang (kerusi Parlimen).
“Saya berdoa supaya dia menang dalam pilihan raya akan datang supaya dapat menggantikan menteri pendidikan sedia ada,” kata Afnan Hamimi pada sidang media di Parlimen pada Isnin.
Sebelum ini MRSM mengumumkan tindakan disiplin yang tegas diambil terhadap beberapa pelajar institusi pendidikan Mara berkenaan selepas mereka didapati terlibat dalam kejadian buli.
Antara mereka ialah enam pelajar dari sebuah MRSM di Melaka.
Selain itu pelajar MRSM Besut di Terengganu juga dibuang pada Jun lalu selepas membuli secara fizikal seorang pelajar berusia 14 tahun, manakala pada April, sebuah MRSM di Pulau Pinang membuang tujuh pelajar kerana sebab yang sama.
Asyraf Wajdi turut mencabar secara terbuka ibu bapa pelajar MRSM yang bercadang menyamannya selepas anak mereka dibuang sekolah kerana kes buli.
Merujuk kepada kebimbangan berterusan orang awam terhadap kematian pelajar tingkatan satu sebuah sekolah agama di Sabah, Zara Qairina Mahathir, Afnan Hamimi menegaskan, Fadhlina dilihat tidak berminat untuk meredakan kebimbangan ibu bapa, lapor Malaysiakini.
“Orang ramai semakin bimbang untuk menghantar anak ke sekolah, dan semakin hilang kepercayaan terhadap institusi pendidikan kita.
“Pada masa yang sama, menteri pendidikan memberi jaminan bahawa sekolah kita masih selamat, tetapi masyarakat tidak mahu sekadar mendengar jaminan lisan sahaja kerana keadaan sudah serius, dengan banyak kes buli telah berlaku di sekolah,” katanya.



