KERAMAT – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memuji keikhlasan Pakatan Harapan (PH) dalam kerjasama Kerajaan Perpaduan dengan menawarkan banyak kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya di enam negeri.
Timbalan Perdana Menteri itu menyatakan langkah PH itu telah memberi lebih peluang untuk BN bertanding.
“Daripada 245 kerusi ditandingi sekarang, BN bertanding 108 kerusi. Dulu kerusi penyandang kita tidak lebih dari 38 kerusi, ertinya PH beri peluang kepada BN untuk bertanding.
“PH telah mmperlihatkan keikhlasan kepada BN, oleh sebab itu menjadi tanggungjawab BN untuk membalas keikhlasan ini dengan beri sokongan kepada semua calon PH,” katanya dalam ceramah malam tadi.
Zahid berkata, beliau sudah memberitahu jentera BN supaya wajib menolong calon PH di Selangor kerana tahu jentera parti itu di negeri ini serta negeri lain terus menyokong calon BN.
Katanya, itulah semangat yang ditunjukkan kedua-dua parti Kerajaan Perpaduan.
“Oleh itu, kita mahu saudara Datuk Seri Amirudin Shari akan terus menjadi Menteri Besar Selangor.
“Kita tahu bahawa kita diserang, diterjah pelbagai fitnah, seranah dan sebaginya, tetapi (saya) yakin apabila merah dan biru bercantum dengan penuh keserasaian, insya-Allah,” katanya.-SUARATV