KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan Isnin ini sebagai cuti peristiwa sekiranya gabungan Pakatan Harapan(PH) dan Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya negeri (PRN) ini, esok.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri amat berbesar hati sekiranya gabungan PH-BN kekal mentadbir Selangor untuk lima penggal seterusnya.
“Dengan berbesar hati juga, saya ingin mengumumkan bahawa sekiranya gabungan Perpaduan yang terdiri daripada PH dan BN berjaya memenangi PRN pada 12 Ogos ini (esok) dan membentuk kerajaan negeri Selangor, kita bersetuju untuk isytiharkan cuti peristiwa buat seluruh rakyat Selangor pada 14 Ogos ini iaitu pada hari Isnin depan,” katanya pada ucapan Amanat Khas Menteri Besar Selangor yang disiarkan di Facebooknya, pada Jumaat.
Dalam ucapannya lagi, Amirudin memberitahu bahawa pilihan raya pada 12 Ogos adalah tarikh penting dalam sejarah Selangor.
“Anda bakal menentukan masa hadapan Selangor untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Anda mempunyai pilihan antara gabungan yang akan meneruskan kejayaan, kecemerlangan dan kemajuan negeri ini ataupun gabungan yang hanya berminat untuk menggunakan PRN untuk mencetuskan ketidakstabilan politik negara, terbukti tiada idea baharu dan tiada perancangan untuk Selangor, negeri yang kita cintai ini,” katanya.