KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng serius menuntut kerajaan mempertimbangkan pembekuan atau penangguhan terhadap kenaikan caj utiliti dan Cukai SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) ini sehingga isu “perang tarif” dapat diselesaikan.
Tegas Pengerusi DAP itu, meskipun ekonomi negara terus menunjukkan ketahanan, dengan kadar inflasi menurun kepada 1.2 peratus setakat Mei 2025 terendah dalam tempoh 51 bulan dan kadar penyertaan tenaga buruh mencatatkan rekod tertinggi sebanyak 70.8 peratus.
Namun begitu, realiti di lapangan menunjukkan ramai perniagaan dan isi rumah masih mengadu mengenai kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi, manakala pendapatan pula tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian termasuk bayaran balik pinjaman.
“Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas, daripada 3 kepada 2.75 peratus. Langkah ini merupakan berita baik buat perniagaan dan isi rumah yang sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan peningkatan cukai.
“Oleh itu, pembekuan atau penangguhan terhadap kenaikan tarif elektrik sebanyak 14.2 peratus kepada perniagaan serta cukai tambahan RM10 bilion akibat peluasan skop cukai SST mulai 1 Julai 2025 amat diperlukan untuk membantu rakyat Malaysia menghadapi kadar Tarif Timbal Balik (Reciprocal Tariffs – RT) sebanyak 25 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
“Ekonomi Malaysia boleh diperkukuhkan lagi, perniagaan dapat berkembang, dan kehidupan rakyat boleh diperbaiki sekiranya kerajaan dapat membekukan atau menangguhkan semua kenaikan caj utiliti dan cukai SST. Dalam persekitaran “perang tarif” yang tidak menguntungkan ini, hanya segelintir negara yang masih meneruskan kenaikan caj utiliti atau pengenaan cukai tambahan.
“Diharapkan perkara ini dapat dibincangkan bersama pemimpin tertinggi kerajaan dan ahli-Ahli Parlimen kerajaan pada minggu hadapan agar kerajaan dapat mempertimbangkan pembekuan atau penangguhan terhadap kenaikan caj utiliti dan cukai SST ini sehingga isu “perang tarif” dapat diselesaikan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bekas Menteri Kewangan itu mengakui, ekonomi negara terus menunjukkan ketahanan, dengan kadar inflasi menurun kepada 1.2 peratus setakat Mei 2025 terendah dalam tempoh 51 bulan dan kadar penyertaan tenaga buruh mencatatkan rekod tertinggi sebanyak 70.8 peratus.
“BNM menyatakan bahawa keseimbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan kekal cenderung ke arah negatif, disebabkan terutamanya oleh kelembapan perdagangan global, sentimen yang lemah serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.
“Pengurangan OPR ini penting untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi domestik memandangkan ketidaktentuan perkembangan luaran yang boleh menjejaskan prospek pertumbuhan Malaysia.
“Jelas bahawa ketidaktentuan yang dimaksudkan oleh BNM merujuk kepada pelaksanaan tarif timbal balik sebanyak 25 peratus oleh Amerika Syarikat yang dijangka berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.
“Tiada siapa yang akan membantah bahawa pengurangan OPR ini merupakan langkah awal yang wajar bagi mengekalkan laluan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam suasana inflasi yang sederhana,” katanya.