SHAH ALAM – Umno Selangor tidak mahu terganggu dengan keputusan yang dibuat Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyertai PKR.
Pengerusi Umno Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegasakan, Umno bukan parti politik yang terlalu bergantung kepada personaliti seseorang hingga fungsinya terhenti apabila pemimpin parti itu bertindak meninggalkan perjuangan.
“Kita pastinya menyahut (tiada ketegangan dengan Zafrul), tidak mahu melihat isu Zafrul adalah satu isu yang akhirnya Umno Selangor tak boleh bergerak ke mana-mana.
“Seperti mana saya kata, pemimpin datang dan pergi, yang tinggal mesti meneruskan perjuangan, Umno ini bukan kerana seorang personaliti, Umno adalah kita.
“Malam ini kita lihat kekitaan dan kita bergerak ke depan. Saya tidak mahu terganggu dengan keputusan itu.
“(Bahkan) kita saksikan Umno Kota Raja tidak ada satu cawangan pun yang ditutup, yang pergi biarlah pergi yang pergi biarlah pergi… dah biasa Umno ini pemimpin datang dan pergi tapi yang tinggal saya fikir adalah mereka yang akan terus berjuang membawa panji dan perjalanan aktiviti Umno Kota Raja diteruskan,” katanya pada majlis Perasmian Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), malam tadi.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Kota Raja dan ahli parti itu berkuat kuasa pada 31 Mei lalu.
Sementara itu, Megat Zulkarnain mengakui persahabatan antara beliau dengan Tengku Zafrul masih seperti biasa dan keadaan itu berbeza dengan fahaman politik.
“Siang tadi (semalam) saya bertemu dengan beliau dalam majlis yang diadakan di Matrade.
“Kita tiada masalah berhubungan dengan persahabatan macam biasa, tapi prinsip partinya berbeza, itu perkara kedua,” katanya.
Katanya, beliau akan terus memimpin Umno Selangor walaupun kehilangan seorang pemimpin bertaraf menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Umno Selangor tidak boleh terganggu dengan keputusan ini, perjuangan mesti diteruskan dan saya bertanggungjawab untuk memandu Umno Selangor,” kata beliau lagi.
Dalam perkembangan lain, Megat Zulkarnain memaklumkan Umno Selangor sedia berunding dengan Pakatan Harapan (PH) dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), termasuk kerjasama politik dan pembahagian kerusi di negeri itu.
Beliau berkata, perkara itu hanya akan dibincang bersama Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum penggal ke-15 Parlimen berakhir.
“Saya di Badan Perhubungan Umno Selangor akan berbincang dengan Datuk Seri Amirudin, kita akan lihat established by, bila PRU baru berbincang,” katanya.