84 Kematian, 6,849 Kes Baru Covid & 7,749 Pesakit Pulih Hari Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jumlah kes sembuh daripada COVID-19 dalam tempoh 24 jam di negara ini melonjak kepada 7,749 orang, angka tertinggi direkodkan sejak penularan wabak sementara 6,849 kes baharu dicatatkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perangkaan kes sembuh itu menjadikan jumlah keseluruhan individu pulih sepenuhnya dari wabak itu adalah sebanyak 563,779, manakala kes aktif kini 78,864 kes dan jumlah kes kumulatif sebanyak 646,411.

“Jumlah kes baharu merangkumi 6,845 kes penularan tempatan melibatkan 4,935 warganegara dan 1,910 warga asing, manakala hanya terdapat empat kes import membabitkan seorang warganegara dan tiga bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Jumlah kes yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) pula sebanyak 912 dengan 458 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan, katanya.

Dr Noor Hisham berkata Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi sebanyak 2,558, diikuti Kuala Lumpur (884); Sarawak (699); Negeri Sembilan (685); Johor (426); Sabah (309) dan Kelantan (248).

Selain itu, Pulau Pinang mencatatkan 205 kes; Labuan (176); Melaka (170); Perak dan Kedah (masing-masing 161); Pahang (89); Terengganu (66); Putrajaya (10) dan Perlis (dua).

Sementara itu, sebanyak 84 lagi kematian akibat wabak itu dilaporkan dalam tempoh sama menjadikan kumulatif kes maut di Malaysia kini 3,768.

Dr Noor Hisham berkata pecahan kes maut itu merangkumi 76 warganegara dan lapan warga asing berumur antara 27 hingga 89 tahun dengan majoriti individu dikesan menghidap penyakit kronik.

Dalam pada itu, sebanyak 16 lagi kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu 12 kluster di tempat kerja, tiga kluster komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Kluster di tempat kerja melibatkan lima di Selangor iaitu Kluster Industri Persiaran Raja Lumu, Kluster Industri Jalan Bunga Cempaka Dua, Kluster Industri Sungai Putus, Kluster Industri Puchong Lima dan Kluster Industri Jalan Batu Arang.

Di Johor kluster di tempat kerja ialah Kluster Bukit Bakri, Kluster Jalan Tanjung A Tiga, Kluster Jalan Renchong dan Klusuter Laman Satu; manakala di Sarawak melibatkan Kluster Sungai Kakus, Kluster Pekan Tatau Baru dan Kluster Semanok.

“Kluster komuniti pula melibatkan Kluster Kopi Blues di Sabah; Kluster Penchala (Kuala Lumpur) dan Cabang Empat Chetok (Kelantan), sementara kluster kumpulan berisiko ialah Kluster Jalan Permatang Lapan (Johor),” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat