Untung Selepas Cukai TNB Bagi Suku Pertama 2020, Susut

- Advertisement -

KEUNTUNGAN selepas cukai (PAT) kumpulan Tenaga Nasional Berhad (TNB) susut 51.6 peratus kepada RM736.7 juta pada Suku Pertama Tahun Kewangan 2020 (1QFY2020) daripada RM1.52 bilion untuk tempoh sama tahun lalu.

PAT yang lebih rendah ini termasuk kerugian tukaran mata wang asing belum terealisasi bernilai RM388 juta.

Suku ini menyaksikan tukaran mata wang asing yang tidak stabil berikutan ekonomi global tidak menentu.

Pendapatan kumpulan menyusut 12 peratus kepada RM11.65 bilion daripada RM13.24 bilion pada tempoh sama tahun lalu disebabkan pendapatan keseluruhan yang terkesan oleh Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) pada keadaan rebat RM307.5 juta berbanding keadaan surcaj RM1.37 bilion pada suku sama tahun lalu.

Bagaimanapun, jualan elektrik pada tiga bulan pertama tahun ini stabil pada 27,938.2 GWh atau RM11.78 bilion berbanding 28,471.1 GWh atau RM12.03 bilion pada suku pertama 2019.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, musim kering pada Mac mulanya melonjakkan penggunaan tenaga di Semenanjung Malaysia hingga mencapai rekod tertinggi 18,808 MW pada 10 Mac 2020.

“Namun, peningkatan itu tidak berpanjangan, kesan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac 2020.

“Hasilnya, penggunaan elektrik keseluruhan di Semenanjung menyusut berikutan penutupan sementara perniagaan bagi mematuhi arahan kerajaan duduk di rumah sepanjang PKP,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, penggunaan elektrik bagi sektor industri dan komersial menyusut antara 25 peratus hingga 50 peratus berikutan pemberhentian sementara operasi, manakala penggunaan elektrik bagi sektor kediaman melonjak naik antara 20 peratus hingga 50 peratus susulan pematuhan arahan duduk di rumah dan aktiviti bekerja dari rumah.

“Secara keseluruhannya, permintaan elektrik menyusut 1.9 peratus pada 1QFY2020 sebelum kesan menyeluruh Covid-19 dan tempoh PKP,” katanya.

“Bagaimanapun, permintaan bagi bulan Mei 2020 turun 28 peratus berbanding Mei tahun lalu. TNB menjangkakan penggunaan elektrik menurun antara tujuh hingga 15 peratus tahun ke tahun bagi 2020 berikutan kelembapan aktiviti sektor komersial,” katanya – Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat