MAHKAMAH LULUSKAN PERMOHONAN NAJIB BUAT PEMERIKSAAN BARANG YANG DISITA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa beg tangan berjenama bernilai jutaan ringgit yang disita oleh polis kerana didakwa terlibat dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah musnah akibat kecuaian semasa mengendalikan barang-barang berkenaan.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mereka mendapat tahu mengenai keadaan beg tangan itu semasa memeriksa barang-barang berkenaan yang disimpan dalam peti simpanan di Bank Negara Malaysia (BNM).

Pemeriksaan dibuat oleh Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuan mereka Nooryana Najwa pada 22 Feb lepas dalam satu lagi permohonan pemeriksaan di hadapan seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi.

“Tiap satu beg tangan yang dikatakan mahal itu langsung tidak dipedulikan, ia dimusnahkan oleh polis kerana mereka menulis terus di atas beg-beg berkenaan dengan “magic pen”, dan bukannya di atas kertas.

“Beg-beg ini bernilai jutaan ringgit dan begitu cara mereka mengendalikannya,” katanya di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Beliau berkata demikian semasa berhujah dalam permohonan Najib untuk memeriksa secara fizikal beg-beg tangan berjenama, barang kemas, dan lain-lain barang berharga yang disita polis pada 2018.

Beliau juga berkata anak guamnya tiada bersama semasa barang itu disita, sebaliknya pengurus bangunan (tempat barang-barang itu disimpan), yang dipanggil untuk berada di sana.

“Dokumentasi eksibit (barang yang disita) juga tidak dibuat dengan teratur… dengan itu permohonan kami untuk membuat pemeriksaan adalah memang amat patut, untuk melihat sendiri eksibit itu,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin berkata pihak pendakwaan membantah permohonan Najib untuk memeriksa barang-barang itu atas alasan keselamatan, kerana barang yang disita itu bernilai lebih RM680 juta.

Beliau mengatakan bahawa ia merupakan dakwaan serius untuk mengatakan bahawa barang-barang itu telah musnah kerana barang-barang itu disimpan dalam peti besi BNM yang hanya boleh diakses oleh pihak yang yang diberi kuasa sahaja.

Hakim Muhammad Jamil kemudiannya membenarkan permohonan Najib selepas memutuskan bahawa dia mempunyai hak untuk memeriksa barang-barang berkenaan, bagi membolehkan dia menyediakan pembelaan dalam permohonan lucut hak.

“Soal berhubung keselamatan dan kuantiti besar barang itu bukan satu isu. Saya juga membenarkan pemohonan (Najib) untuk diiringi oleh dua peguam cara dalam melaksanakan pemeriksaan di bawah penyeliaan responden (pendakwaan),” katanya.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan lucut hak harta aset yang disita dari premis yang dimiliki oleh Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal dana 1MDB mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Najib merupakan pihak ketiga dalam permohonan lucut hak itu.

Dalam notis usul yang difailkan terhadap Obyu Holdings, ia menyatakan bahawa antara aset itu adalah 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 barang hiasan jam tangan 234 pasang kaca mata, 306 beg tangan, dan wang tunai bernilai RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi.

Sebahagian besar daripada barang mewah yang disita oleh polis dilaporkan daripada apartmen yang dimiliki Obyu Holdings.

Selain itu satu hartanah di Kuala Lumpur turut dirampas pada 1 Nov 2018.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat