Musuh Umno Toksik, Ghairah Tanam Propaganda Benci Dan Prejudis – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Musuh politik Umno sedang ghairah menanam perasaan benci dan prejudis yang melampau dalam pemikiran rakyat terutamanya anak-anak muda yang baru sahaja bersemangat dalam menunaikan tanggungjawab demokrasi masing-masing.

Presiden Umno berkata, permainan persepsi ini diasak-asak sepanjang masa sehingga membentuk satu realiti yang merbahaya di dalam pemikiran dan kehidupan rakyat.

Menurut Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, politik nilai, politik khidmat, ikhtiar untuk membina negara yang terbaik, iltizam politik untuk meletakkan negara pada landasan ekonomi yang kukuh dan terbaik semuanya diketepikan, dan digantikan dengan kebencian dan dendam kesumat.

“Semuanya dihidangkan sebagai ‘soundbyte buffet’ yang mudah dihadam dan diterima dan berlegar di domain digital sehingga ke hari ini.

“Daripada usaha memajukan masyarakat mendepani cabaran abad ke-21, sebaliknya ini telah menganjakkan masyarakat kita jauh ke belakang. Kita telah kembali kepada budaya politik lapuk dan ketinggalan zaman.

“Dan yang menerima kesan terburuk adalah anak-anak muda kita sendiri. Bayangkan pelapis-pelapis negara kita memulakan ‘political journey’ mereka melalui lensa perkauman dan propaganda kebencian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis sempena sambutan ulang tahun ke-77 Umno.

Beliau yaang juga Timbalan Perdana Menteri yakin bahawa pihak sana (musuh Umno) bukannya tidak sedar kesan buruk daripada propaganda ini.

Tetapi katanya, mereka memilih dengan sengaja untuk memejamkan mata dan membiarkan anak muda kita terus terbuai sehingga membelakangkan semangat perpaduan yang menjadi asas kekuatan negara.

Semuanya demi laba dan kuasa, bukan demi rakyat dan negara, tegas Zahid.

“Justeru itu, bagi mengembalikan Malaysia kepada landasan yang betul, kita semua perlu melihat ke dalam diri kita semua dan menginsafi tanggungjawab kita dalam masyarakat. Kesejahteraan negara bukan semata-mata ditentukan oleh kerajaan dan pemimpinnya, tetapi oleh pilihan dan tindakan berjuta rakyatnya.

“Peranan Umno dalam Kerajaan Perpaduan ini merupakan peluang kepada kita untuk menggalas tanggungjawab mentadbir negara dengan baik dan membuktikan kebolehan kita memimpin harapan rakyat.

“Cara kita membina negara perlu lebih cekap dan bermaruah serta berintegriti. Kita mendukung nilai-nilai hormat dan saling kebertanggungjawaban antara kita dan juga rakan-rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita mengambil pendirian rasional dan mengiktiraf bahawa kita boleh bergerak seiringan. Bukan sahaja dalam aspek nilai-nilai yang kita kongsi bersama, tetapi juga dalam menentukan hala tuju Malaysia yang terbaik,” ujar Zahid.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga memberitahu, Umno berazam untuk mengurniakan rakyat Malaysia dengan sebuah kerajaan yang diyakini dan sentiasa mempertahankan nilai-nilai demokrasi dan hak kemanusiaan serta cakna realiti semasa.

“Sebab itu, adalah sangat penting untuk kita menjelmakan kembali kekuatan parti Umno. Umno perlu kuat dan mantap, mempunyai tapak yang luas lagi inklusif.

“Bersempena ulangtahun Umno yang ke-77, Umno akan menunjukkan jalan teladan dalam menjayakan politik baru yang lebih matang dan bermakna.

“Ingat, parti bersejarah ini bermula sebagai gerakan amal bakti dan bukan kelab golongan elit, golongan hartawan dan peniaga atau kelab ‘eksklusif’. Prinsip perjuangan parti perlu sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan. Yang bertunjangkan semangat kemasyarakatan yang tinggi. Visi parti bukan pada Malaysia yang kuat semata-mata, tetapi pada rakyatnya yang hidup aman dan makmur,” katanya.

Tegas Zahid lagi, Umno tidak akan sesekali lelah dalam menawarkan penyelesaian tuntas kepada permasalahan rakyat Malaysia.

“Daripada usaha meningkatkan taraf ekonomi, pembasmian kemiskinan tegar, sehingga kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai negara paling kompetitif dan paling pesat membangun.

“Umno akan menawarkan wawasan ke arah kesederhanaan, kesaksamaan, keadilan, kebebasan, dan pertumbuhan ekonomi bagi jangka masa panjang melalui satu set dasar yang wajar dan boleh dicapai dari pelbagai latar belakang etnik dan agama.

“Parti ini akan terus menawarkan rakyat Malaysia pelan jangka panjang yang akan mengubah kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik dan memenuhi keperluan abad ke-21.

“Umno memahami dan mewakili realiti semasa dan sentiasa bersedia untuk melaksanakan segala tuntutannya, termasuk memperkasa agenda Melayu dalam konteks Malaysia yang semakin moden,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Zahid mengingtakan PRU15 mengajar bahawa demokrasi bukanlah satu anugerah tetapi demokrasi adalah hak rakyat.

“Sempadan ruang demokrasi bukan ditentukan oleh pemerintah. Demokrasi hanya akan diperolehi melalui perjuangan rakyat.

“Kini seluruh rakyat Malaysia menumpukan perhatian kepada Umno untuk meneliti gerak geri, mengadili idea-idea dan dasar, memperhalusi cara kita menyantuni rakyat.

“Mari kita gilap semangat dan idealisme perjuangan parti yang bersejarah dan membina Umno yang lebih progresif dan mendepani dengan idea-idea segar bagi berdepan politik toksik pembangkang yang direncahkan dengan perkauman yang sempit dan sentimen tunggangan agama melampau tanpa memikirkan tanggungjawab untuk membina negara bangsa.

“Dari latar belakang kaum, wilayah, agama, kelas dan profesion yang pelbagai kita jadikan kekuatan yang perlu diraikan dan bukannya dijadikan jurang pemisah atau tembok politik perkauman sempit,” ujar beliau.

Zahid menyeru ahli Umno menjalin dengan semangat muhibah, setiakawan untuk bina parti ini dengan kekuatan yang padu dan satu.

“Mari kita jayakan tata kelola politik baharu yang matang dan segar agar Umno menjadi sebuah parti yang berdisiplin, mendahului kepentingan parti mendahului kepentingan individu, cekap dan efisien, dan seterusnya membuktikan kepada rakyat bahawa parti ini tidak akan sesekali mensia-siakan harapan rakyat.

“Kita raikan suara akar umbi, gabungan suara anak muda dan dewasa, membina generasi pelapis masa depan bagi melangkah ke depan.

“Sesuai dengan realiti baharu di bawah Kerajaan Malaysia Madani Perpaduan inilah ruang hikmah untuk menguatkan kedudukan parti kembali menjadi lebih relevan dan berfungsi dengan lebih dinamik dan cakna dengan perubahan semasa.

“Ulang tahun 77 merupakan tanda kematangan Umno menempuh suka duka, pahit manis yang lebih mematangkan Umno untuk pulih, bangkit dan bergerak ke depan. Insya Allah. Selamat menyambut ulang tahun Umno ke-77 dengan muhasabah diri, kesyukuran dan keinsafan untuk membina masa depan Umno lebih gemilang. Di depan api, di belakang duri, Umno tidak pernah gentar mengharungi cabaran dan masa depan. Sebaliknya inilah membentuk kematangan baru dan dinamika Umno masa kini! seru Zahid.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat