Rakyat Bersama UMNO Kerana UMNO Bersama Rakyat – Zahid

KUALA LUMPUR – Perjuangan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang jauh lebih murni, demi sebuah kebenaran dan kewajipan,” kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tegas beliau, UMNO akan kembali berjuang dalam PRU akan datang.

“Amalan kita bermuafakat dan tidak berpecah belah. Serumpun bak serai, sesusun bak sireh.

“InsyaAllah rakyat bersama UMNO kerana UMNO akan terus bersama rakyat,” ucapnya sempena ulang tahun ke-76 UMNO pada 11 Mei.

Zahid berkata, mereka yang menyatakan UMNO sudah tidak relevan suatu kesilapan besar.

Sebaliknya ujar beliau, mereka itu sedang bermimpi di siang hari. Mengandaikan yang mustahil dan bukan-bukan.

“UMNO sebaliknya umpama pohon besar yang sedang menanti detik kembali berbuah.

“Meskipun pernah seakan-akan nyaris tumbang dipukul ribut, namun akarnya begitu utuh lagi kuat.

“Pohon UMNO nan luhur tetap teguh berpacak memayungi segenap naungannya,” jelasnya.

Zahid memberitahu, UMNO dilahirkan dengan air mata pengorbanan orang Melayu.

“UMNO dilahirkan di Istana Melayu dan parti terbesar orang Melayu sejak 11 Mei 1946. UMNO mendepani rancangan Malayan Union oleh British demi survival bangsa Melayu.

“UMNO mempertahankan kedaulatan institusi diraja dan Raja-Raja Melayu. UMNO mengangkat kepentingan Melayu lagi memperkasakan syariat agama.

“UMNO jua sebuah parti politik semangat nasionalisme Melayu berpaksikan Islam. Kerana itu UMNO masih bertapak di hati Melayu disebabkan asas penubuhannya yang jelas,” katanya.

Bagaimanapun kata Zahid lagi, UMNO tidak pernah sama sekali mengenepikan hak bukan Melayu.

“Sejarah berpuluh tahun UMNO mengemudi teras pentadbiran negara sebagai bukti,”katanya.