Umno Sabah beri isyarat gegar sidang DUN minggu depan bahas skandal Adun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan tidak akan menutup skandal rasuah di Sabah, Umno Sabah kini bersiap sedia berentap di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka menjadi sidang terakhir sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Memetik kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, Pengarah Komunikasi Strategik Umno Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman berkata, sidang DUN minggu depan merupakan masa paling sesuai untuk membahaskan isu tersebut.

“Sidang kali ini sangat berkemungkinan besar merupakan sidang terakhir sebelum DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN Sabah ke-17.

“Oleh itu, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, mesti memberikan penjelasan secara menyeluruh berhubung skandal rasuah lesen perlombongan mineral yang telah menjadi isu hangat dan membimbangkan rakyat di setiap lapisan masyarakat di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Datu Rosman turut menyambut baik jaminan Azam bahawa siasatan berkenaan skandal rasuah lesen perlombongan mineral itu tidak akan ditutup atau disembunyikan.

Dalam masa yang sama, dia menyeru agar tangkapan dan tindakan pendakwaan segera dibuat ke atas individu-individu yang terlibat.

“Rakyat Sabah amat menghargai usaha dan ketegasan yang ditunjukkan oleh Tan Sri Azam.

“Mereka juga berharap agar SPRM segera membuat tangkapan dalam masa terdekat dan mendakwa sembilan individu bergelar ‘Yang Berhormat’ di mahkamah, sebagai pengajaran kepada semua wakil rakyat di masa depan di Sabah,” katanya lapor Malaysiakini.

Semalam, Azam berkata SPRM sedang menunggu laporan analisis forensik terhadap rakaman video yang telah diserahkan kepada SPRM oleh Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek, pada 11 Mac lalu.

Diaturut menegaskan bahawa dakwaan rasuah melibatkan beberapa Adun itu bukanlah sesuatu yang boleh disembunyikan, dan siasatan masih berjalan.

Video-video tersebut telah didedahkan oleh seorang ahli perniagaan yang mendakwa beberapa Adun menerima rasuah daripadanya sebagai balasan untuk mendapatkan lesen cari gali mineral.

Hajiji sebelum ini mendakwa video-video tersebut merupakan cubaan untuk menjatuhkan pentadbirannya dan mendakwa pemberi maklumat itu bersekongkol dengan pihak tertentu.

Ahli perniagaan berusia 36 tahun itu juga didakwa terlibat dalam sebuah kartel yang cuba memonopoli aktiviti perlombongan di negeri Sabah.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat