Pendapat Pakar, Atau Hanya Pakar Memberi Pendapat?

- Advertisement -

Baru-baru ini di dalam satu laporan portal berita Free Malaysia Today, Pakar Pediatrik Swasta, Dr. Musa Mohd Nordin telah mengkritik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr. Noor Hisham Abdullah dengan mengatakan bahawa pengurusan KKM telah gagal melindungi wira-wira kita di barisan hadapan (frontliners).

Sebagai seorang rakyat biasa, yang bukan seorang pakar dalam bidang sains atau perubatan, penulis merasakan kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Musa Mohd Nordin, seorang pakar pediatrik dari sebuah hospital swasta ini dangkal dan tidak membantu sama sekali perjuangan kerajaan dalam membendung wabak Covid-19 yang sedang menular di negara ini.

Memang benar, beliau mempunyai kelayakan yang hebat dalam bidang perubatan kanak-kanak dan kesihatan. Tetapi kenyataan beliau yang seolah-olah mengecam segala hasil kerja yang telah dicurahkan selama ini oleh pengurusan KKM dan Kerajaan Malaysia sepatutnya tidak diutarakan dengan sebegitu rupa.

Dalam menghadapi krisis penularan wabak Covid-19, Kerajaan Malaysia boleh dikatakan telah bertindak cemerlang sehingga mendapat pujian daripada rakyat negara maju seperti Jepun dan ahli akademik dari Amerika Syarikat. Pujian ini diberikan bukan sahaja kepada kecekapan Kementerian Kesihatan dan keseluruhan jentera Kerajaan Malaysia dalam menguruskan pesakit, tetapi juga dari aspek penerangan, pelaksanaan polisi baharu dan melaksana langkah pencegahan kawalan wabak sebaik mungkin.

Terdahulu, Dr. Musa Mohd Nordin telah mengkritik Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan, YB Zuraida Kamaruddin dengan menyelar tindakan menteri tersebut turun padang untuk terlibat dan melihat sendiri perkembangan proses nyah kuman yang dilaksanakan oleh kementeriannya. Tetapi, kini Dr. Musa Mohd Nordin menyuruh pula Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan pengurusan KKM untuk turun padang.

Kedua-dua pihak yang dikritik hebat oleh Dr. Musa Mohd Nordin ini mempunyai tugas dan tanggungjawab mereka tersendiri dalam menguruskan setiap perkara di dalam kementerian masing-masing. Ada sebab dan alasan mengapa mereka turun padang ataupun tidak turun padang, jadi mengapa hal-hal sebegini dijadikan isu?

Kumpulan pengurusan di dalam kerajaan Malaysia, tidak kira samada Menteri, Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah dan kakitangan di dalam sesuatu kementerian hanya akan bertindak apabila maklumat daripada pelbagai jabatan dan agensi telah diambil kira. Mereka mempunyai maklumat yang lebih terperinci mengenai keadaan semasa dan setiap tindakan yang dilaksanakan sudah tentu mempunyai matlamat tertentu yang ingin dicapai oleh kementerian tersebut.
Jadi apabila kritikan melulu dikeluarkan oleh seorang pakar yang tidak terlibat secara langsung dalam mengawal penularan wabak ini, ia akan mendatangkan rasa tidak senang dan resah kepada rakyat. Dalam keadaan seperti ini, rakyat perlu ditenangkan, bukannya dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan kontroversi. Kebebasan bersuara itu penting, namun ada masanya kita perlu memikirkan dahulu kesan kenyataan yang berkonotasi negatif, kerana impaknya adalah sangat besar.

Perkara yang paling penting untuk dilihat di sini adalah, kerajaan telah cuba sedaya upaya untuk terus melawan dan membendung penularan Virus Covid-19 daripada terus merebak dan membunuh rakyat Malaysia. Setakat ini, dalam berhadapan dengan penularan virus yang telah menyebabkan kematian lebih 80,000 nyawa di seluruh dunia, kerajaan telah melaksanakan polisi dan tindakan yang benar-benar membantu dan memberi manfaat secara terus kepada rakyat.

Sebagai seorang insan, kita juga perlu sedar bahawa tiada yang sempurna di dunia ini, malah jika kita melihat keadaan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom sekalipun, pelaksanaan polisi dan gerak kerja mereka menangani Covid-19 lebih lemah berbanding apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia.

Pada ketika kita berhadapan dengan musibah ini, perkara yang paling penting adalah untuk tidak menunding jari dan salah menyalah. Jika ada pendapat atau cadangan tertentu, adalah lebih baik disampaikan melalui saluran dan cara yang betul. Tidak salah untuk kita menegur kerajaan atau mana-mana pihak, tetapi teguran hendaklah diberikan dengan cara yang berhemah dan berhikmah, apatahlagi ketika negara sedang dilanda cabaran yang hebat seperti ini.

Adalah penting untuk kita semua bersatu hati dan memberikan sokongan padu kepada kerajaan Malaysia pada ketika ini. Doa dan harapan kita agar semua rakyat Malaysia, khususnya para petugas barisan hadapan selamat daripada dijangkiti oleh wabak durjana ini.

Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff
Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat