PARIT JAWA – Calon Barisan Nasional (BN) DUN Sungai Balang, Selamat Takim yakin akan terus mengekalkan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung esok.

Selamat yang juga penyandang DUN Sungai Balang mengakui telah menyantuni dari hujung ke pangkal pengundi-pengundinya.

“Sepanjang tempoh kempen 11 hari ini saya telah menyantuni dari hujung hingga pangkal pengundi-pengundi saya.

“Di hujung hujung ini saya dapat rasakan kemenangan besar di DUN Sungai Balang.

“Semoga esok semua dapat turun lebih awal dan undi BN, perantau juga ada hubungi saya untuk balik dan undi BN,” katanya ketika ditemui media di Pasar Parit Jawa pada Jumaat.

Selamat yang dikenali sebagai Cikgu Selamat oleh penduduk setempat berkata meskipun pilihan raya lepas beliau cuma menang dengan majoriti 174 undi.

“Pilihan raya lalu walaupun ada gelombang tolak BN. Kali ini saya yakin gelombang anak muda akan kembalikan semula kegemilangan BN,” ujarnya.