Lebihan fiskal hasil reformasi BUDI95 tak ‘hilang’ begitu saja, dipulangkan kepada rakyat melalui SARA – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan bagi 2026, penyasaran subsidi RON95 dijangka menjimatkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion, tertakluk pergerakan harga minyak mentah dunia dan kadar pertukaran mata wang.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menyatakan, penjimatan ini hasil daripada ketirisan subsidi yang berjaya dikekang.

“Sindiket penyeludupan ke negara jiran juga dapat dibendung. Saya juga menghargai keprihatinan rakyat yang bertindak menegur dan menyalurkan maklumat tatkala ada cubaan membeli RON95 oleh warga asing.

“Sikap ini wajar dipuji tidak sekadar mempertahan hak sebagai rakyat Malaysia, malah cerminan semangat kenegaraan dan jati diri,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurut Perdana Menteri lagi, hasil penjimatan fiskal telah diagih semula kepada rakyat.

“Penjimatan ini dapat membiayai penambahan bantuan rakyat, khususnya Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Bermula 9 Februari lalu, semua 22 juta rakyat Malaysia 18 tahun ke atas menerima RM100 setiap individu melalui MyKad.

“SARA untuk semua juga dapat menjana limpahan ekonomi kepada peruncit tempatan sebagai Rakan Niaga SARA serta pembekal barangan asas termasuk PMKS tempatan.

“Dalam tempoh dua hari pelaksanaan SARA Untuk Semua, hampir RM200 juta telah dibelanjakan oleh 2 juta rakyat,” kata Anwar.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Madani kekal berpegang kepada prinsip, pertumbuhan mesti dipacu oleh reformasi, dan reformasi mesti berpaksikan kesejahteraan
rakyat.

“Lebihan fiskal hasil reformasi tidak ‘hilang’ begitu saja, tetapi tetap dipulangkan semula kepada rakyat. Bermakna, walau kita menggerakkan pembaharuan, hak dan kebajikan rakyat tetap terbela,” katanya.

Anwar menjawab PH-Bukit Bintang, Fong Kui Lun yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah penjimatan dicapai melalui pelaksanaan BUDI Madani (BUDI95) sepanjang tahun 2025 dan unjuran penjimatan bagi tahun 2026 serta bagaimana penjimatan tersebut dimanfaatkan, adakah disalurkan semula untuk meringankan kos sara hidup rakyat dan memperkukuh bantuan bersasar
kepada golongan B40 dan M40.

Mengulas lanjut Anwar memberitahu, tidak dapat dimungkiri kenyataan, penyasaran subsidi perlu dilaksanakan.

Hal ini katanya kerana, Kerajaan Madani mewarisi tahap hutang dan defisit yang tidak dibiayai secara mampan. Subsidi pukal terus membengkak dan bocor
kepada golongan tidak layak.

“Kendatipun isu ini telah lama dibincangkan termasuk pimpinan terdahulu, ia tidak terlaksana kerana ketiadaan tekad politik untuk menggerakkan reformasi demi kemampanan fiskal negara.

“Di bawah pentadbiran Madani, kita memilih untuk akur kepada realiti dan berani menyasarkan subsidi di setiap peringkat secara berfasa, tanpa menjejaskan kebajikan rakyat terbanyak.

“Setelah kejayaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel tanpa membebankan rakyat, penyasaran subsidi petrol RON95 akhirnya dilaksanakan.

“Kerajaan tidak menerima saranan Bank Dunia dan beberapa pakar ekonomi untuk mengapungkan harga yang disusuli bantuan tunai hanya kepada rakyat miskin. Pendekatan berteraskan teori ekonomi konvensional tidak mengambil kira realiti cabaran sara hidup dihadapi tidak hanya rakyat miskin, malah golongan pertengahan.

“Sekiranya dituruti saranan Bank Dunia, kadar inflasi melonjak naik dan menambah beban sara hidup rakyat,” jelas Anwar.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat