KUALA LUMPUR, — Isu melibatkan seorang individu orang kurang upaya (OKU) mencetuskan polemik dalaman UMNO apabila Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, membuat laporan polis terhadap Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha.
Berdasarkan salinan laporan polis bertarikh 9 Februari 2026 di Balai Polis Kuala Terengganu, Lokman mendakwa Armand memuat naik kenyataan berunsur fitnah yang mengaitkan beliau dengan dakwaan menumbuk seorang individu dikenali sebagai “Mat Terre”, yang disifatkan sebagai insan istimewa.
Dalam laporan itu, Lokman menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit dan menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai cubaan merosakkan nama baik serta kredibilitinya. Beliau turut memohon agar pihak polis menjalankan siasatan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.
Sementara itu, Armand Azha dalam kenyataan balas di media sosial menafikan tuduhan bahawa beliau menghasut atau menuduh Lokman menumbuk individu berkenaan.
“Di celah mana saya ada keluar kenyataan menuduh dia menumbuk Mat Terre? Saya hanya menulis secara umum sebagai peringatan agar jangan memarahi atau meninggikan suara terhadap insan istimewa,” katanya.
Menurut Armand, kejadian sebenar hanya melibatkan insiden meninggikan suara terhadap individu tersebut di sebuah lokasi di PWTC dan beliau mendakwa terdapat ramai saksi termasuk beberapa pemimpin bahagian dan perwakilan yang hadir.
Beliau turut menjelaskan bahawa selepas insiden itu, beliau menenangkan individu berkenaan sebelum membiarkannya berlalu.
Armand juga mempersoalkan dakwaan bahawa beliau menghasut individu tersebut membuat tuduhan fizikal terhadap Lokman, sambil menyifatkan laporan polis itu sebagai usaha menjatuhkan kredibilitinya sebagai Ketua UMNO Bahagian Subang.
Isu tersebut turut menghangatkan kembali perbincangan mengenai disiplin dan dinamika dalaman parti menjelang beberapa mesyuarat penting UMNO tahun ini.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kepimpinan tertinggi UMNO berhubung pertikaian terbuka antara dua pemimpin parti itu.
Perkembangan lanjut dijangka bergantung kepada hasil siasatan pihak berkuasa.



