KUALA LUMPUR – Malaysia melonjak ke kedudukan ke-54 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia, satu peningkatan yang menurut Perdana Menteri mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memerangi rasuah secara sistemik serta memperkukuh tadbir urus negara.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, Perdana Menteri berkata peningkatan tersebut didorong oleh tindakan penguatkuasaan tegas pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Menurut beliau, usaha bersepadu itu berjaya memulihkan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui rampasan aset, dana serta pembanterasan sindiket rasuah dan ketirisan yang telah lama menjejaskan kewangan awam.
Kerajaan juga, katanya, tidak berkompromi dalam isu integriti institusi strategik negara. Tindakan tegas diambil terhadap salah laku dan penyelewengan termasuk dalam sektor pertahanan, selain pembongkaran kartel dan kes rasuah berprofil tinggi.
“Tindakan ini menegaskan prinsip bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang,” katanya.
Perdana Menteri turut menyifatkan pencapaian itu sebagai peringatan untuk semua pihak menggandakan usaha memerangi rasuah secara konsisten dan berani demi memulihkan keyakinan rakyat serta mempertahankan amanah negara.



