Malaysia Kekal di Kedudukan ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah 2024

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia mengekalkan kedudukan ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2024 dengan skor 50 mata, menurut Transparency International Malaysia (TI-Malaysia).

Kedudukan ini diperoleh berdasarkan sembilan tinjauan berbeza yang mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam di 180 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, TI-Malaysia menegaskan bahawa walaupun Malaysia kekal di kedudukan yang sama dengan skor yang tidak berubah, kerajaan perlu memberi perhatian kepada visi negara untuk berada dalam kalangan 25 negara terbaik menjelang 2033.

“Malaysia hendaklah memperoleh skor sebanyak 68-70 mata untuk mencapai kedudukan tersebut.

“Oleh itu, Malaysia perlu meningkatkan skor sekurang-kurangnya dua mata setiap tahun sehingga 2033 demi mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata kenyataan tersebut pada Selasa.

TI-Malaysia turut menyenaraikan tiga negara yang dianggap bersih daripada ancaman rasuah dan menduduki tempat teratas dalam indeks tersebut, iaitu Denmark, Finland dan Singapura, masing-masing dengan skor 90, 88, dan 84 mata.

Sebaliknya, negara yang berada di kedudukan tercorot adalah Venezuela (10 mata), Sudan Selatan (9 mata), dan Somalia (8 mata).

Faktor Malaysia Kekal di Kedudukan Sama

Menurut TI-Malaysia, beberapa faktor menyumbang kepada kedudukan Malaysia yang tidak berubah, antaranya masih wujudnya persepsi bahawa rasuah dalam sektor awam merupakan isu utama yang perlu dibendung.

“Tiada sebarang makluman perkembangan mengenai dua buah kes yang berkaitan Liabiliti Korporat (Pristine Offshore-2021 & Hydroshoppe-2023) yang berkemungkinan menyebabkan organisasi-organisasi komersial tidak mengambil berat mengenai kepentingan Panduan Tatacara Mencukupi (Adequate Procedures),”** jelas kenyataan tersebut.

Selain itu, TI-Malaysia turut menekankan bahawa usaha pembaharuan institusi masih bergerak perlahan meskipun kerajaan memberikan penekanan terhadap tata kelola yang baik. Ini termasuk penggubalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, Akta Kebebasan Maklumat, Akta Perolehan Awam, Akta Perkhidmatan Parlimen, serta pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Politik dan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Semakan semula hukuman penjara dan pengurangan denda bagi kes berprofil tinggi turut menimbulkan kebimbangan mengenai campur tangan politik dalam badan kehakiman.

“Bilangan kes-kes dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), yang diberikan untuk kes berprofil tinggi juga mewujudkan persepsi bahawa terdapat unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman atau dalam proses pendakwaan.

“Walaupun pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat tangkapan, masih terdapat kes-kes salah guna kuasa dan rasuah yang berterusan oleh penjawat awam. Contohnya, penahanan pegawai kastam di KLIA baru-baru ini akibat penyeludupan vape yang bernilai sebanyak RM8 juta,” kata TI-Malaysia lagi.

Cadangan Penambahbaikan

Bagi memastikan peningkatan skor dalam CPI, TI-Malaysia mengesyorkan agar kerajaan mempercepatkan pelaksanaan pembaharuan institusi bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan menghapuskan campur tangan politik dalam badan penguatkuasa serta kehakiman.

TI-Malaysia turut mencadangkan kerajaan untuk memperkukuh Integrity Pact selari dengan piawaian antarabangsa serta mewujudkan pengawasan bebas bagi projek mega, bagi memastikan wang pembayar cukai dibelanjakan dengan telus.

“Kerajaan hendaklah memanfaatkan perkembangan teknologi terkini seperti Kepintaran Buatan (AI), rantaian blok (blockchain) dan data besar untuk mengurangkan risiko birokrasi dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan dalam sektor awam yang akan memberi kesan kepada usaha membanteras rasuah,” tambah TI-Malaysia.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat