KUCHING, 11 Februari – Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Iswardy Morni, akan melepaskan semua jawatannya dalam parti itu berkuat kuasa Rabu ini, selepas dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana kesalahan menghina Yang di-Pertuan Agong tiga tahun lalu.
Dalam satu audio siar miliknya, Iswardy, 48, menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selari dengan pendiriannya untuk tidak meneruskan rayuan terhadap hukuman yang diputuskan pada 23 Januari lalu.
“Oleh kerana saya tidak merayu maka kekal hukuman itu… kekal rekod jenayah itu kepada saya.
“Jadi saya tidak boleh bertanding dalam pilihan raya yang akan datang untuk satu term (penggal) sehingga umur saya 55 tahun nanti.
“Dari sekarang, tujuh tahun, next PRU (pilihan raya umum) will be 2027, so tambah 5 tahun selepas 2027, tahun 2032 baharu saya boleh bertanding,” jelasnya.
Bagaimanapun, mengenai pemilihan parti, beliau berkata perkara itu bergantung kepada keputusan PKR.
“Tapi saya percaya, parti pun tidak akan membenarkan saya bertanding sebarang jawatan dalam parti.
“Tempoh sekarang ini, mulai minggu depan saya tidak lagi menjadi ketua cabang, sudah tidak lagi menjadi Setiausaha Koordinasi Penerangan, saya juga tidak lagi menjadi Pengarah Strategi PKR Sarawak kerana semua jawatan itu telah ‘dilucutkan’ kerana kes saya,”** tambahnya.
Iswardy turut memaklumkan bahawa kini beliau hanya merupakan ahli biasa dalam PKR.
“Saya juga tidak boleh dilantik Senator kerana ada rekod jenayah selama satu penggal,” ujarnya yang juga seorang pengamal undang-undang.
Iswardy, yang merupakan Ketua Cabang PKR Petra Jaya, sebelum ini dituduh di mahkamah selepas didakwa menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi laman Facebooknya, Iswardy Morni Official, pada 29 Mei 2021.
Beliau kemudian didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.