Kementerian Pelancongan sangkal pinggirkan Perlis, tak salur peruntukan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) tidak pernah menganaktirikan mana-mana negeri termasuk negeri di bawah pentadbiran pembangkang dalam menyalurkan sebarang peruntukan bagi aktiviti pelancongan.

Timbalan Menterinya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata kementerian mengadakan pelbagai sesi libat urus dengan memberi peluang kepada semua wakil kerajaan negeri mengutarakan isu berkaitan sektor pelancongan di negeri masing-masing.

“Inilah peluang sebenarnya untuk mereka (wakil kerajaan negeri) mengutarakan apa sebenarnya kehendak mereka.

“Malah, kita sentiasa menerima dengan hati dan pintu terbuka sebarang kerjasama ataupun sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan sektor pelancongan dan kebudayaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tasik Cermin 2 sempena Tahun Melawat Perak 2024, lapor Bernama di Ipoh.

Media hari ini melaporkan kerajaan Perlis kecewa apabila tidak menerima maklum balas berhubung peruntukan daripada Motac untuk tujuan naik taraf lokasi pelancongan khususnya sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing juga tidak memberi sebarang jawapan berhubung permohonan kerajaan negeri untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan mengenai perkara itu sebelum ini.

Menurut Shukri, kerajaan negeri memohon peruntukan berjumlah RM4 juta bagi menaik taraf lapan lokasi pelancongan di Perlis untuk memberi keselesaan buat pengunjung sempena TMPs 2024-2025.

Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata mungkin berlaku sedikit salah faham antara kerajaan Perlis dengan Motac berhubung isu peruntukan berkenaan.

“Kita (Motac) ada menyalurkan peruntukan pembangunan kepada Perlis dan kita juga mengadakan pelbagai aktiviti untuk merancakkan sektor pelancongan di negeri itu.

“Mungkin ada sedikit salah faham, tetapi tidak perlulah kita mahu bergaduh atau bertengkar berkaitan perkara ini kerana ia tidak membawa manfaat,” katanya.

Terdahulu, Khairul Firdaus dalam ucapannya berkata Perak mempunyai pelbagai destinasi dan produk yang hebat hingga menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat