KUALA LUMPUR – DAP adalah parti yang tidak bermuka-muka dan berpura-pura setiakawan membuatkan Umno juga tidak perlu berpura-pura dengan parti yang dahulunya seteru utama.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjasama Umno dan DAP sekarang ini disesuaikan dengan keperluan dan kedinamikan semasa.
“Kerjasama dengan DAP, di sebalik pendirian Umno sebelum ini. Pendirian politik, mestilah diasaskan kepada realiti politik. Ia mesti disesuaikan, dengan keperluan dan kedinamikan semasa.
“Kita memang kenal pendirian mereka. Mereka juga faham pendirian kita. Mereka tidak bermuka-muka dan berpura-pura setiakawan. Kita pun tidak perlu berpura-pura.
“Kita tahu siapa itu DAP. Kita juga tahu siapa itu PKR dan Amanah. Maka kita membuat keputusan, berdasarkan pilihan paling sesuai, untuk membolehkan kita mengurus perbezaan,” tegas Mohamad pada ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pada Rabu.
Tetapi jika Umno dengan Perikatan Nasional (PN), kita hanyalah pemain ketiga, yang berkongsi kepentingan demografi yang sama.
Tegasnya, ini akan menyukarkan Umno, mengurus segala perbezaan, di masa akan datang dan apa yang pasti, pilihan Umno untuk bekerjasama dengan PH, telah menjadikan UMNO, parti yang akan mewakili, kepentingan Melayu terbesar, dalam kerajaan.
“Ini adalah sesuatu, yang tidak akan dapat Umno lakukan, jika menyertai Kerajaan pimpinan PN. Kerana Umno, berada dalam kedudukan ketiga, sebagai kuasa politik Melayu, dalam perikatan sedemikian.
“Lalu, bagaimana semua ini, akan menguntungkan Umno, dalam jangka masa panjang? Biarkan saya jelaskan, dengan tegas sekali lagi di sini. Kita tidak menyertai PH. Kita selamanya BN. Kita membentuk Kerajaan Perpaduan, dan bekerjasama mengurus negara, bersama PH, GPS dan GRS.
“Ini mesti jelas dan difahami. Pada masa ini, Umno adalah rakan sekutu, dalam Kerajaan Perpaduan, bukan parti komponen PH. Biar saya tegaskan di sini juga, bahawa selama berpuluh tahun, kita bertentangan dengan DAP. Semua orang tahu itu.
“Tetapi, adakah dengan pendirian sedemikian, orang Melayu berduyun-duyun mendukung kita. Dan menjadikan kita semakin kuat, dan semakin berpengaruh, dengan pendirian sedemikian?
“Keputusan beberapa pilihanraya umum lepas, jelas menampakkan bahawa, disebalik cemuhan kita kepada DAP, sokongan Melayu tidak meningkat. Malah merosot. Kerana faktor yang mendorong orang melayu, menyokong atau menolak kita, ternyata bukanlah, pendirian kita terhadap DAP,” kata Mohamad lagi.
Tegas Menteri Pertahanan itu lagi, orang Melayu boleh hidup tanpa Umno.
Tetapi katanya, orang Melayu tidak boleh berkehidupan, tanpa Islam, tanpa ilmu, tanpa kemajuan. – Suara.TV