KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari menempelak Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh yang menggunakan frasa ‘cukup jumlah’ sewaktu membuat pengumuman bahawa Pakatan Harapan (PH) dan GRS menang majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Sabah pada 29 Nov lalu.
Fadhli mendakwa Fuziah sengaja menggunakan frasa ‘cukup jumlah’ untuk menyindir.
“Beliau sengaja gunakan frasa ‘cukup jumlah’ selepas PRN Sabah sebagai sindiran kononnya kepada pihak tertentu.
“Sekarang beliau sendiri diserang habis-habisan oleh rakan-rakannya dalam PH. Selamat bergasak,” bidas Fadhli sinis.
Pada malam penjumlahan undi PRN Sabah Fuziah membuat sidang media dengan mengumumkan “kita cukup jumlah bentuk kerajaan, PH (Pakatan Harapan) sedang bincang bersama GRS,” kata Setiausaha Agung PKR.
Pada 21 Nov 2022 media melaporkan, Perikatan Nasional (PN) berkeyakinan sudah mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan pusat.
Malah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sokongan itu melebihi jumlah yang diperlukan.
“Dah cukup jumlah! Melebihi daripada cukup” katanya.
Dalam pada itu Abdul Hadi berkata, beliau bersedia untuk menerima undangan ke Istana Negara bagi menghadap Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
“Tunggu diundang (ke Istana Negara) bila-bila masa sahaja,” katanya.



